| |
1. Kajian mengenai kehidupannya sebagai sahabat dan periwayat hadith Nabi (s.‘a.w)
Ini merupakan kajian mengenai kehidupan seorang sahabat yang meriwayatkan hadith-hadith daripada Nabi (s.‘a.w) dengan jumlah yang paling banyak. Kitab-kitab hadith yang sahih dan diakui oleh kebanyakan orang Islam turut sama mencatatkan hadith daripadanya dengan jumlah yang begitu besar hingga dianggap keterlaluan. Dalam menghadapi kedua-dua keadaan yang keterlaluan ini, kami merasa wajar untuk meneliti kesahihan sumbersumbernya kerana hubungannya yang rapat dengan keilmuan dan kehidupan beragama kita, khususnya para pengikut empat madhhab Islam yang diketahui umum, telah mengambil banyak hadith tersebut dalam perkara-perkara berhubung dengan dasar-dasar keimanan dan juga hukum-hakam syariah.
2. Nama dan keturunan Abu
Keturunan Abu Hurairah tidak begitu jelas sehingga menyebabkan ramai yang berselisih pendapat mengenai namanya dan nama bapanya, dan dia lebih dikenali dengan nama gelarannya.
Bagaimanapun, dia dikaitkan dengan Dus yang berasal daripada puak Yaman iaitu daripada Dus bin ‘Adnan.
Mengenai bapanya, namanya disebutkan sebagai Umair. Dia merupakan anak kepada Ibn ‘Amir bin ‘Abd-Zisy Syari bin Tarif dan lainlain, akhirnya dihubungkan dengan Dus. Nama ibunya pula ialah Umaimah. Dia merupakan anak perempuan kepada Safih bin Haris bin Syabi bin Abi Sa‘b dan sekali lagi berakhir dengan Dus.
Dia lebih dikenali sebagai Abu Hurairah kerana seekor anak kucing yang dikaitkan dengan begitu lumrah. Ini kerana dalam bahasa Arab, Hurairah bermaksud anak kucing.
3. Permulaan kehidupan, keislaman dan persahabatan
Abu Hurairah melalui zaman mudanya di tempat kelahirannya di Yaman dan tetap berada di sana sehingga berusia lebih dari 30 tahun dalam keadaan jahil, perkembangan mental yang lembab, melarat, terasing, bersendirian, papa kedana dan terpaksa memberikan perkhidmatan kepada lelaki dan wanita untuk meneruskan hidupnya sampai ke tahap memadai dengan mendapat roti untuk dimakan dan berpuashati dengan keadaan hidupnya yang serba daif.
Walau bagaimanapun, apabila kedudukan Nabi (s.‘a.w) bertambah baik selepas peperangan Badr, Uhud, Ahzab dan lain-lain, lelaki ini yang tidak mempunyai apa-apa turut datang mendengar selepas peperangan Khaybar dan memeluk Islam di tangan Nabi (s.‘a.w) yang suci. Semua ahli sejarah bersepakat, hal tersebut berlaku pada tahun ke-7H/13M. Oleh itu, jangka masa persahabatannya dengan Nabi (s.‘a.w) seperti yang diceritakan oleh tokoh hadith yang terkemuka, al- Bukhari adalah tidak lebih dari 3 tahun sahaja.
4. Abu Hurairah di sepanjang kehidupan Nabi (s.‘a.w)
Selepas memeluk Islam, Abu Hurairah membawa dirinya tinggal bersama-sama dengan orang-orang miskin di Suffah, yang bersumberkan catatan Abu al-Fida’ dalam kitab sejarahnya, al-Mukhtasar terdiri daripada orang-orang faqir yang tidak mempunyai kediaman dan perlindungan, dan tidur di serambi masjid Nabi (s.‘a.w). Oleh kerana mereka menghabiskan masa di serambi masjid, akhirnya mereka dikenali sebagai Ahl al-Suffah (penghuni serambi masjid). Apabila Nabi (s.‘a.w) makan malam, baginda akan mengajak sekumpulan daripada mereka makan bersama-samanya dan meminta para sahabat yang lain membenarkan kumpulan-kumpulan lain pula berkongsi makanan dengan mereka. Abu Hurairah merupakan seorang yang dikenali umum di antara mereka, dan tetap berada di situ sehingga akhir hayat Nabi (s.‘a.w).
Berdasarkan hadith yang dicatatkan dalam Sahih al-Bukhari, Abu Hurairah sendiri telah menceritakan, biasanya dia berada bersama-sama Nabi (s.‘a.w) bertujuan untuk mendapatkan makanan.
Terdapat beberapa kenyataan oleh Abu Hurairah dalam kitab-kitab hadith menunjukkan kemiskinan yang begitu berat memaksanya hidup dengan apa sahaja yang diperolehinya sebagai salah seorang Ahl al- Suffah, dan dengan cara itu dia menerima kebajikan dan sedekah yang diberikan oleh orang ramai.
Ja‘far bin Abi Talib merupakan orang yang paling murah hati bersedekah kepada orang-orang miskin. Oleh kerana Abu Hurairah mendapat banyak kelebihan daripada sifat murah hati Ja‘far, dia menganggap Ja‘far sebagai orang yang terbaik daripada yang lain selain daripada Nabi (s.‘a.w). Hal ini diceritakan bahawa Ja‘far bin Abi Talib suka membantu orang-orang miskin, duduk bersama-sama dan berbual-bual dengan mereka hinggakan Nabi (s.‘a.w) menggelarkannya ‘Abd al-Masakin (hamba orang-orang miskin). Abu Hurairah tetap berada di Suffah, siang dan malam, dan tidak pernah pergi ke tempattempat lain kerana bimbang akan kelaparan.
Itulah sebabnya dia tidak disebutkan dalam mana-mana peperangan, atau bahkan juga dalam sebarang peristiwa perdamaian, kecuali ada disebutkan bahawa dia melarikan diri daripada sariyyah (ekspedisi) Mu‘tah, dan dalam peperangan tersebut, pelindungnya yang utama iaitu Ja‘far bin Abi Talib telah mati syahid selepas kedua-dua tangannya cedera parah.
|
|
0 komentar:
Posting Komentar