a006

Ijtihad dan Keragaman Pemahaman Agama
 

BAB III


9. Abu Hurairah semasa zaman pemerintahan Mu‘awiyah

Zaman pemerintahan Mu‘awiyah terbukti memberikan banyak peluang kepada Abu Hurairah kerana kebanyakan hasratnya dapat dipenuhi. Dia mulai menyampaikan bermacam-macam hadith untuk menyokong dan menyatakan kelebihan Mu‘awiyah walaupun (hadith itu) aneh dan melucukan.

Lantaran itu, zaman ini dikenali sebagai zaman penciptaan hadith-hadith palsu bertujuan untuk merendah-rendahkan Bani Hasyim. Begitu juga, pelbagai bentuk kebatilan ditujukan kepada Nabi (s.‘a.w) dan orang ramai mereka-rekakan hadith kerana mereka diminta berbuat demikian, manakala Abu Hurairah merupakan tokoh pemalsu hadith yang paling terkenal di kalangan mereka.

Di sini, dikemukakan beberapa contoh hadith palsu:

(1) Abu Hurairah meriwayatkan: “ Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Allah mempercayai 3 orang berhubung dengan wahyu-Nya, iaitu aku, malaikat Jibril dan Mu‘awiyah.”

(2) Abu Hurairah meriwayatkan: “ Rasulullah (s.‘a.w) menganugerahkan anak panah kepada Mu‘awiyah sambil bersabda: Ambillah anak panah ini hinggalah engkau bertemu denganku di syurga.”

(3) Abu al-‘Abbas al-Walid bin Ahmad al-Zuzani telah menceritakan daripada Abu Hurairah, dalam kitabnya Syajarat al-‘aql, bahawa dia meriwayatkan: Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda:

“ Sesungguhnya, bagi Abu Bakr sebuah kubah daripada mutiara putih dengan empat pintu. Ia dilindungi dengan rahmat Allah, bahagian luarnya adalah keampunan Allah manakala bahagian dalamnya keredhaan Allah, setiap kali dia merindui Allah, dibukakan pintu baginya dan dapatlah dia melihat Allah ‘azza wa jalla.”

(4) Ibn Hibban telah menceritakan daripada Abu Hurairah menerusi rangkaian perawi, bahawa dia meriwayatkan:

“ Pada ketika malaikat Jibril berada di sisi Rasulullah (s.‘a.w), kebetulan Abu Bakr melintas, lalu Jibril berkata: “ Inilah Abu Bakr al-Siddiq.” Rasulullah (s.‘a.w) bertanya: “ Adakah kamu mengenalinya, Jibril?” Lalu dijawab: “ Ya, sesungguhnya dia (Abu Bakr) lebih masyhur di langit daripada di bumi. Para malaikat menamakannya Halim Quraisy (bermaksud orang Quraisy yang paling penyantun). Sesungguhnya dia adalah wazir (menteri) semasa hidupmu dan dia adalah khalifahmu selepas kewafatanmu.”

(5) Ibn Hibban menceritakan daripada Abu Hurairah menerusi serangkaian perawi bahawa dia meriwayatkan:

“ Apabila Rasulullah (s.‘a.w) sampai ke gua dalam perjalanan baginda ke Madinah, Abu Bakr memegang tempat letak kekang kuda. Rasulullah kemudian bersabda: “ Patutkah aku memberikan khabar gembira kepadamu, wahai Abu Bakr? Sesungguhnya Allah ta‘ala menjelma kepada makhluk-makhluk-Nya pada hari Qiyamat secara umum dan menjelma kepadamu secara khusus !”

(6) Al-Khatib menceritakan daripada Abu Hurairah menerusi serangkaian perawi bahawa dia berkata: Rasulullah (s.‘a.w) bersabda:

" Pada suatu hari apabila Abu Bakr dilahirkan, para malaikat merasa sungguh gembira dan Allah melihat ke arah syurga `Adn dan berfirman: Demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, tidak akan masuk ke syurga ini kecuali orang yang mencintai anak yang baru lahir ini."

(7) Ibn ‘Adi menceritakan daripada Abu Hurairah menerusi serangkaian perawi bahawa dia meriwayatkan:

Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Ketika aku diangkatkan ke langit, maka setiap kali aku merentasi langit aku temui tulisan tercatat: Muhammad Rasulullah dan Abu Bakr al-Siddiq.”

(8) Abu al-Farj ibn al-Jawzi telah menceritakan daripada para perawi yang sampai kepada Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa:

“ Rasulullah (s.‘a.w) menceritakan kepadamu bahawa syurga dan neraka saling berbangga-bangga antara mereka, maka kata neraka kepada syurga, aku lebih berkuasa daripadamu, maka Allah menyampaikan wahyu kepada syurga supaya berkata: “ Kelebihanku adalah kerana Allah menghiasiku kerana Abu Bakr.”

(9) Al-Khatib menceritakan menerusi para perawi yang sampai kepada Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa:

Rasulullah (s.‘a.w) keluar sambil memegang ‘Ali bin Abi Talib (‘a.s), ketika Abu Bakr dan ‘Umar maju ke hadapan untuk menyambutnya, Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Wahai ‘Ali, adakah engkau mencintai kedua-dua orang tua (syaikh) ini? Katanya: “ Ya.” Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Cintailah kedua-duanya dan kamu akan dapat masuk syurga.”

(10) Sekali lagi, al-Khatib menceritakan dalam kitabnya, Tarikh Baghdad dan Ibn Syahin dalam Sunannya, menerusi dua cara sampai kepada Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa:

Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Sesungguhnya di langit dunia ini terdapat 80 ribu malaikat memohon ampunan kepada sesiapa yang mencintai Abu Bakr dan ‘Umar, dan di langit kedua, 80 ribu malaikat pula melaknati sesiapa yang membenci Abu Bakr dan ‘Umar.”

(11) Al-Khatib menceritakan menerusi para perawi sampai kepada Abu Hurairah, dia meriwayatkan bahawa: Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Sesungguhnya bagi Allah di langit itu 70 ribu malaikat melaknati orang-orang yang mencela Abu Bakr dan ‘Umar.”

Semua hadith itu ditolak oleh tokoh-tokoh tersebut yang mencatatkannya dalam kitab-kitab mereka seperti dinyatakan di atas.

Selanjutnya al-‘Allamah Jalal al-Din al-Suyuti telah memasukkan semua hadith ini dalam kelompok hadith-hadith palsu dengan menyebutkannya menerusi nama-nama perawinya dan memetik teks (matan) sepenuhnya dalam kitabnya, La‘aliyat al-Masnu‘ah, tetapi tokohtokoh tadi tidak menemui sebarang kesalahan Abu Hurairah dalam perkara ini, hanya mencela orang yang menceritakan daripadanya tanpa menghormati orang-orang yang telah menemui Rasulullah (s.‘a.w) dan orang-orang Islam yang telah meriwayatkan hadithhadithdaripadanya.

Demikian juga mereka telah lakukan terhadap hadith-hadith palsu Abu Hurairah. Sebenarnya mereka tidak mampu menyesuaikan keadaan hadith-hadith itu, dengan sebahagian kecilnya dinyatakan di bawah: Contoh riwayatnya, aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Ini Jibril menyampaikan kepadaku daripada Allah, bahawa tidak mencintai Abu Bakr dan ‘Umar melainkan orang mu’min yang bertaqwa dan tidak membenci keduaduanya melainkan munafiq terkutuk.”

Hadith ini termasuk dalam hadith-hadith palsu yang ditolak oleh kesemua ahli ilmu dan tokoh hadith terkemuka, al-Dhahabi telah menyebutkan dalam kitabnya, Mizan al-I‘tidal menerusi Ibrahim bin Malik al-Ansari dan menyatakan bahawa ia adalah batil (sesat). Dengan cara inilah, sesiapa menghadapi kebenaran dengan kebatilan akan rugi. Dia mengatakan:

Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Allah menciptakanku dari Nur-Nya dan menciptakan Abu Bakr dari Nur-Ku, dan menciptakan ‘Umar dari Nur Abu Bakr, seterusnya menciptakan umatku (seluruh umat Islam) dari Nur ‘Umar, sedangkan ‘Umar ialah lampu (siraj) Ahli syurga.”

Hadith ini juga ditolak sama sekali seperti hadith sebelumnya. Al-Dhahabi telah menyebutkannya mengenai Ahmad al-Samarqandi dalam Mizan al-I‘tidal. Kalau diteliti ternyata ia sememangnya batil dan bercanggah dengan al-Qur’an. Bagi orang-orang yang menghadapi kebenaran dengan kebatilan sudah pasti akan kecewa. Katanya:

Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Abu Bakr dan ‘Umar merupakan orang-orang yang paling baik daripada golongan terdahulu (al-Awwalin) dan terkemudian (al-Akhirin).”

Hadith tersebut juga ditolak sama seperti dua buah hadith sebelumnya.

Al-Dhahabi telah menyebutkannya dalam Mizan al-I‘tidal mengenai Jirun bin Waqid al-Afriqi dan menganggapnya sebagai batil. Abu Hurairah meriwayatkan: Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Para sahabatku seperti bintang-bintang, sesiapa yang mengikuti mana-mana di antara mereka akan mendapat hidayat (petunjuk).”

Al-Dhahabi telah mencatatkan hadith tersebut mengenai Ja‘far bin ‘Abd al-Walid al-Qadi dalam kitabnya Mizan al-I‘tidal dan membuktikan bahawa hadith tersebut adalah salah sebuah hadith ciptaan dan rekaan Abu Hurairah.

Riwayat Abu Hurairah turut menyebutkan Rasulullah (s.‘a.w) sebagai bersabda: “ Telah diturunkan dalam kitab al-Injil tentang sifatku dan sifat para sahabatku iaitu Abu Bakr, ‘Umar, ‘Uthman dan ‘Ali seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah ia dan tegak lurus di atas pokoknya, tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mu’min).”

(Perkataan-perkataan yang diitalikkan adalah ayat al-Qur’an, surah al-Fath (48): 29.) Kedua-dua buah kitab, Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim mengandungi sejumlah hadith yang dihubungkan oleh Abu Hurairah dengan cara seperti ini dan diceritakan pula seperti itu.


10. Sokongan Bani Umaiyyah terhadap Abu Hurairah

Bagaimana Bani Umaiyyah mempergunakan Abu Hurairah untuk mencapai tujuan mereka dapat diperhatikan dengan jelas sekiranya ditinjau keadaannya sebelum mereka berkuasa dan semasa mereka berkuasa. Sebelum Bani Umaiyyah menduduki tampuk pemerintahan, Abu Hurairah merupakan seorang yang hina dan merempat, mencari kutu di bajunya seperti yang dicatatkan oleh Abu Nu‘aim mengenai Abu Hurairah dalam kitabnya, Hilyat al-Awliya’.2

Semasa pemerintahan Bani Umaiyyah, keadaan Abu Hurairah berubah sama sekali setelah mereka mengeluarkannya daripada kegelapan kejahilan kepada kemuliaan, memakaikannya dengan pakaian sutera bersulam benang emas atau perak dan kain kapas yang bermutu.

Mereka membina istana untuknya di al-‘Aqiq untuk didiami dan mengurniakannya berbagai-bagai kesenangan. Mereka menyebarkan kemasyhurannya ke merata-rata tempat dan menjulang namanya tinggi sehingga dia dilantik sebagai gabenor tanah suci Madinah. Semua ini dicatatkan dalam kitab-kitab yang mu‘tabar seperti Sahih al-Bukhari, Tabaqat Ibn Sa‘d, al-Isabah Ibn Hajar, al-Ma‘arif Ibn Qutaybah, Musnad Ahmad ibn Hanbal dan sebagainya.

Kemuncaknya adalah pada zaman keagungan Bani Umaiyyah, dia mengahwini Busrah bint Ghazwan bin Jabir bin Wahb al- Mazaniyyah, saudara perempuan ‘Utbah bin Ghazwan, tokoh perang yang terkenal pada zaman Khalifah ‘Umar yang menjadikannya sebagai ketua dalam beberapa sariyyah (ekspedisi) ketenteraan dan kemudian melantiknya sebagai gabenor Basrah. Abu Hurairah berkahwin dengannya selepas kematian ‘Utbah. Perlu juga dinyatakan bahawa pada mulanya, Abu Hurairah biasanya menjadi hamba kepadanya semata-mata untuk mendapatkan makanan dan dia tidak pernah terfikir akan berkahwin dengannya. Cerita-cerita mengenainya boleh didapati dalam beberapa buah kitab sejarah seperti al-Isabah Ibn Hajar, Hilyat al-Awliya’ Abu Nu‘aim, Tabaqat Ibn Sa‘d dan lain-lain yang memperlihatkan bahawa dalam beberapa peristiwa, Abu Hurairah mengatakan pada mulanya, biasanya dia memberikan khidmatnya kepada Busrah bint Ghazwan ketika dia memerlukan sesuatu daripadanya seperti menaikkannya ketika dia hendak menunggang dan menyambutnya ketika dia pulang, tetapi selepas mengahwininya, Abu Hurairah tetap melakukan tugas yang sama kepadanya.


11. Peranan Abu Hurairah menyokong Bani Umaiyyah

Para pemerintah Bani Umaiyyah begitu memperhambakan Abu Hurairah dengan pelbagai kurniaan sehingga dia menjadi penyampai dakyah mereka dalam pemerintahan Islam sebagai pemerintah yang berhak dan memberikan sokongan dalam semua citacita politik dan aktiviti mereka. Oleh itu, di satu pihak dia merekacipta hadith-hadith yang menceritakan kelebihan mereka, manakala di dalam hadith-hadith yang lain pula, memuji-muji keduadua orang khalifah yang terdahulu menurut citarasa Mu‘awiyah dan puak penderhakanya yang bertujuan menentang ‘Ali (‘a.s) dan Ahl al- Bait Rasulullah (s.‘a.w) yang tidak mungkin dapat dicapai tanpa mengangkat kedudukan kedua-dua orang khalifah tersebut.

Berdasarkan kitab Syarh Nahj al-Balaghah,3 Abu Ja‘far al-Iskafi telah menyatakan bahawa Mu‘awiyah menugaskan beberapa orang sahabat dan tabi‘in meriwayatkan hadith-hadith yang mencaci ‘Ali (‘a.s) dan mendesak orang ramai supaya menjauhkan diri mereka daripadanya serta memaksa mereka melakukan sesuatu mengikut kehendak dan keinginannya, dan mereka menciptakan apa sahaja yang dihajatkan untuknya. Golongan ini terdiri daripada Abu Hurairah, ‘Amr bin al-‘As, al-Mughirah bin Syu‘bah dari kalangan sahabat, manakala ‘Urwah bin al-Zubayr dan lain-lain dari kalangan tabi‘in.

Dalam kitab tersebut,4 Abu Ja‘far al-Iskafi berkata: Pada tahun al-Jama‘ah (‘Am al-Jama‘ah), Abu Hurairah telah datang ke ‘Iraq bersama-sama dengan Mu‘awiyah dan terus ke masjid Kufah. Apabila dia melihat orang ramai datang menyambutnya, dia pun berlutut dan selepas batuk beberapa kali, dia pun berkata: “ Wahai para penduduk ‘Iraq, apakah kamu sekalian menyangka aku berdusta kepada Allah dan Rasul-Nya dan sanggup membakarkan diriku dengan api neraka? Demi Allah, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda:

“ Setiap nabi mempunyai tanah haram, dan sesungguhnya Madinah adalah tanah haramku. Sesiapa yang melakukan kekotoran (hadth), laknat Allah, malaikat dan manusia seluruhnya akan ditimpakan ke atasnya,” lalu dia berkata: “ Aku bersaksi bahawa sesungguhnya ‘Ali telah melakukan kekotoran (ahdath) di tanah ini.”

Ketika kata-kata tersebut sampai kepada pengetahuan Mu‘awiyah, dia telah memberikan hadiah dan kemuliaan kepadanya serta melantiknya menjadi gabenor Madinah.

Diriwayatkan oleh Sufyan al-Thauri daripada ‘Abd al-Rahman bin Qasim daripada ‘Umar bin ‘Abd al-Ghaffar, semasa Abu Hurairah sampai ke Kufah bersama-sama Mu‘awiyah, dia duduk berdekatan pintu Kindah dan orang ramai lalu mengerumuninya. Kemudian seorang pemuda yang datang dari Kufah, dikatakan dia ialah al-Asbagh bin Nubatah, lalu bertanya: “ Wahai Abu Hurairah, dengan nama Allah aku ingin menasihatimu, adakah engkau mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda kepada ‘Ali bin Abi Talib (‘a.s): Demi Allah, perwalikanlah orang yang mewalikannya dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya?” Kata Abu Hurairah: “ Demi Allah, memang benar.”

Lalu katanya: “ Aku bersaksi demi Allah, sesungguhnya kamu (Abu Hurairah) telah memperwalikan musuhnya dan engkau memusuhi walinya,” kemudian dia (al-Asbagh) bangun dan berlalu dari situ.

Dalam beberapa peristiwa yang lain, Abu Hurairah telah menghasilkan hadith-hadith yang mempertahankan golongan munafiq dari kalangan Bani Umaiyyah, bertujuan untuk menghindari keaiban mereka dan agar agama tetap terpelihara daripada sifat kemunafikan mereka, manakala manusia seluruhnya tetap terselamat daripada rancangan jahat mereka. Oleh itu, Abu Hurairah begitu rapat dengan Marwan dan Mu‘awiyah serta teman-temannya yang lain, dan dia mengatakan:

“ Aku mendengar Rasulullah (s.‘a.w) bersabda: “ Demi Allah, sesungguhnya Muhammad itu hanyalah seorang manusia, baginda marah seperti kemarahan orang lain, seandainya terdapat orang mu’min yang pernah aku hina atau caci, hendaklah kamu membayar kifarat untuknya dan sebagai suatu cara mendekatkan diri (qurbah)nya kepadamu pada Hari Qiyamat.”

Sebenarnya, Marwan dan anak-anaknya telah pergi lebih jauh lagi dalam mengangkat kedudukan Abu Hurairah melebihi tokoh-tokoh sezamannya sehingga kesannya dapat dilihat dan dirasai dengan jelas hingga ke hari ini, kerana Marwan dan lain-lain berusaha bersungguhsungguh memberikan keutamaan kepada semua hadith yang direkacipta oleh Abu Hurairah sehingga ia benar-benar diterima umum.

Dalam usaha untuk menunjukkan bahawa Abu Hurairah sebagai seorang perawi hadith yang boleh dipercayai, Marwan telah menggunakan taktik pemutarbalikan. Dia menyampaikan cerita dengan menyuruh penulisnya (Zu‘aiza‘ah) duduk di suatu tempat yang tidak diketahui orang, sedangkan dia sendiri akan mengemukakan soalan kepada Abu Hurairah dan penulisnya akan mencatatkan jawapan yang diberikan oleh Abu Hurairah. Kemudian, setelah setahun berlalu, Marwan akan menanyakan masalah-masalah yang serupa itu semula dan pada masa tersebut, Abu Hurairah akan memberikan jawapan yang sama.

Cerita-cerita seumpama ini disebarkan kepada golongan elit (penduduk Syria) sehingga ia mendapat liputan atau publisiti yang begitu meluas, bahkan al-Hakim sendiri menceritakan dalam kitabnya, al-Mustadrak.5


12. Bilangan hadith Abu Hurairah yang keterlaluan

Ahli hadith bersepakat6 bahawa Abu Hurairah meriwayatkan jumlah hadith yang terbanyak iaitu sebanyak 5374 buah hadith. Dalam Sahih al-Bukhari sahaja, terdapat 446 buah hadith. Kalau kita mengkaji hadith-hadith yang diriwayatkan oleh kesemua empat orang khalifah, kita akan dapati jumlah hadith mereka keseluruhannya kurang 27 % daripada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah secara bersendirian, kerana hadith-hadith daripada riwayat Abu Bakr berjumlah 142, ‘Umar berjumlah 537, ‘Uthman sebanyak 146 dan ‘Ali (‘a.s) sebanyak 586, dengan jumlah kesemuanya 1411 buah hadith, sedangkan daripada Abu Hurairah seorang sahaja adalah sebanyak 5374 buah hadith diriwayatkan seperti yang telah disebutkan tadi.

Malahan para pengkajinya sudah tentu merasa hairan melihat perbezaan yang sedemikian besar, terutamanya memandangkan dia agak lewat memeluk Islam, keturunan bapa dan ibunya pula tidak diketahui, yang pasti menjadikan jumlah hadithnya sedikit, sedangkan dari sudut yang lain pula, keempat-empat orang khalifah tersebut berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik.

Ini kerana mereka memeluk Islam lebih awal, keistimewaan mereka dengan penglibatan dalam bidang perundangan dan kedudukan mereka yang baik selama lebih kurang 52 tahun, iaitu 23 tahun dihabiskan bersama-sama Rasulullah (s.‘a.w) dan 29 tahun lagi selepas baginda mentadbirkan urusan umat Islam dan urusan umatumat yang lain, penaklukan kerajaan Kisra dan Qaisar, pembangunan bandar, perluasan tanah dan kawasan baru, penyebaran dakwah Islam kepada para penduduk dan negara-negara lain, penyampaian hukum-hakam dan amalan (sunan) di kalangan mereka dan pembangunan kawasan yang luas.

Bagaimana mungkin hadith-hadith riwayat Abu Hurairah boleh mencapai beberapa kali ganda melebihi jumlah riwayat keempat -empat orang khalifah tadi? Abu Hurairah tidak langsung boleh disamakan dengan ‘A’isyah7 walaupun dia juga banyak meriwayatkan hadith kerana dia dikahwinkan dengan Rasulullah (s.‘a.w) 10 tahun sebelum Abu Hurairah memeluk Islam. Oleh itu, dia berada di tempat penurunan wahyu dan al-Qur’an serta tempat pertemuan malaikat Jibril dan Mika’il selama 14 tahun dan hanya meninggal dunia sedikit lebih awal daripada Abu Hurairah.

Kedua-dua tokoh tersebut berbeza dalam persahabatan dan persaksian dengan Rasulullah (s.‘a.w). Dalam persahabatan, perbezaannya memang jelas manakala dalam persaksian, penyaksian ‘A’isyah adalah serentak dengan pendengaran, sedangkan akalnya mengatasi pendengarannya. Pemikiran yang lebih mudah untuk menerima dan cepat menangkap (sesuatu). Pada ketika dia terdengar sesuatu, terus sahaja digubah menjadikannya sebuah syair.

‘Urwah pernah menceritakan bahawa dia tidak menemui seorang jua pun yang lebih mengetahui daripada ‘A’isyah dalam perkara yang berhubung dengan ilmu fiqh, perubatan dan syair. Masruq menceritakan bahawa para pemimpin dari kalangan sahabat besar biasa bertanyakannya mengenai hukum fara’id. Selanjutnya, dia mempunyai ramai pendokong dan penyokong dalam pemerintahan Islam. Dengan bantuan mereka, dia dapat memimpin suatu ketumbukan tentera yang kuat ke Basrah yang dikenali dalam sejarah sebagai Perang Jamal, bersempena unta yang ditungganginya semasa memimpin tenteranya itu.

Di samping semua faktor tadi, jumlah hadith daripadanya jauh lebih kecil bahkan hanya setengah sahaja daripada jumlah hadith Abu Hurairah. Malahan seandainya hadith-hadith daripada ‘A’isyah dicampurkan hadith-hadith daripada Umm Salamah yang hidup lebih lama sehinggalah selepas peristiwa Karbala’, kemudian dicampurkan lagi dengan hadith-hadith daripada semua Ummahat al-Mu’minin (ibu-ibu golongan mu’minin), juga termasuk al-Hasan dan al-Husayn, Fatimah (‘a.s) serta kesemua empat orang khalifah, jumlah keseluruhannya masih lagi kurang berbanding dengan yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Perkara ini tentunya boleh dianggap keterlaluan, khususnya kepada orang-orang yang berakal.

Sehubungan dengan itu, Abu Hurairah mendakwa bahawa Nabi (s.‘a.w) telah menyampaikan hadith-hadith kepadanya yang tidak diberitahukan olehnya kepada orang lain dan kerana itu tetap berada dalam fikirannya. Justeru, Abu Hurairah berkata: “ Aku menerima dua kantung berisi hadith, salah satunya sudah aku kosongkan tetapi kalau aku kosongkan yang satu lagi, tenggorokku pasti terputus.”8

Abu Hurairah berkata lagi: “ Kalaulah aku memberitahumu segala apa yang aku tahu, tentulah orang akan melontarkan batu kepadaku dan mengatakan Abu Hurairah gila.” Dia berkata: “ Kalau aku menceritakan kepadamu segala yang terpendam dalam diriku, tentulah manusia akan melontariku dengan najis binatang (al-ba‘r).”

Selanjutnya dia berkata: “ Orang ramai berkata: Wahai Abu Hurairah, engkau sudah melampaui batas. Demi Dia yang diriku ini di tangan-Nya, seandainya aku menceritakan semua apa yang aku dengari daripada Rasulullah (s.‘a.w) kepadamu, tentulah kamu melontariku dengan tompokan najis binatang (al-qasy‘ @ al-mazabil), kemudian kamu tidak lagi dapat melihatku.”9

Dia berkata lagi: “ Aku menghafal banyak hadith daripada Rasulullah (s.‘a.w) yang aku tidak sampaikan kepadamu, seandainya aku menyampaikannya, tentulah kamu semua akan merejamiku dengan batu.”10 Menurut Abu Nu‘aim,11 Abu Hurairah berkata: “ Aku menghafal lima (5) karung hadith daripada Rasulullah (s.‘a.w), hanya dua (2) karung sahaja yang aku dedahkan. Seandainya aku dedahkan karung yang ketiga, kamu akan merejamiku dengan batu.” Tidak dapat dipastikan kenapa Rasulullah (s.‘a.w) menyampaikan hadith-hadith baginda kepada orang yang tidak sanggup mendedahkannya kepada orang ramai, takut pula direjami dengan batu atau dilontari najis binatang dan berbagai-bagai lagi. Dari sudut lain pula, menurut Ibn Sa‘d,12 Abu Hurairah selalu mengatakan: “ Abu Hurairah tidak pernah menyembunyikan atau menulis sesuatu apa pun. Bagaimana mungkin kata-katanya dapat dihubungkan dengan semua omongan kosong tersebut.”

Seterusnya, kalaulah dia tidak mendedahkan sejumlah besar hadith Nabi (s.‘a.w) kerana takut direjami dengan batu atau dilontari dengan najis atau kotoran, tidak mungkin dapat diterima sikap ini dengan adanya banyak hadith yang diriwayatkan olehnya. Sebagai contoh:

Bukankah dia yang menceritakan bahawa Nabi (s.‘a.w) lupa dan bersembahyang dua raka‘at daripada sembahyang empat raka‘at, dan apabila baginda ditanya sama ada terlupa atau memendekkannya (qasr) dengan sengaja, baginda menafikan kedua-duanya.

Bukankah dia yang menceritakan bahawa Nabi (s.‘a.w) selalu memukul, mencaci, melaknat dan menyebat orang-orang yang tidak patut menerimanya ketika sedang marah.

Bukankah dia yang menceritakan bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Kami lebih wajar berada dalam keraguan berbanding dengan Ibrahim.”

Bukankah dia yang mengada-adakan cerita tentang Nabi Lut (‘a.s) yang dikatakan tidak beriman kepada Allah.

Bukankah dia yang menyifatkan Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan ‘Isa (‘a.s) dengan sifat-sifat yang sama sekali tidak layak bagi mereka.

Bukankah dia yang menuduh Nabi Musa (‘a.s) menampar malaikat maut sehingga tersembul biji matanya, dan Nabi Musa (‘a.s) berlari dalam keadaan bertelanjang melintasi kaum Bani Israil yang melihat kemaluannya itu.

Bukankah dia yang menceritakan bahawa Nabi Sulaiman (‘a.s) menukarkan keputusan ayahnya, serta enggan meneruskan pemerintahan menurut kehendak Allah. Oleh kerana itu, dia sentiasa gagal dalam pemerintahannya.

Bukankah dia yang menceritakan tentang Allah, apa yang tidak layak sama sekali dengan-Nya sama ada berdasarkan akal yang waras atau hukum syarak seperti neraka (al-Nar) tidak akan merasa puas sehinggalah Allah memasukkan kaki-Nya ke dalam neraka. Allah memperlihatkan diri-Nya kepada manusia pada Hari Qiyamat dalam bentuk yang tidak diketahui oleh mereka, Dia (Allah) kemudian berfirman: “ Akulah Tuhan yang Maha Kuasa.” Mereka berkata: “ Kami berlindung dengan Allah daripadamu.” Kemudian Dia (Allah) akan datang semula dalam keadaan yang diketahui oleh mereka kemudian, mereka semua berkata: “ Kamukah Tuhan kami.” Bukankah dia yang meriwayatkan bahawa Nabi Adam (‘a.s) diciptakan dalam surah (bentuk) Allah atau Allah menciptakan Nabi Adam (‘a.s) menurut keadaan diri-Nya. Panjangnya 60 hasta (dhira‘ah) dan lebarnya 70 hasta. Abu Hurairah telah menceritakan semua hadith karut tersebut tetapi dia tidak pernah direjam dengan batu, dilontar dengan najis binatang atau kekotoran.

Menurut Sahih al-Bukhari,13 Abu Hurairah mendakwa, tiada seorang pun di antara para sahabat Nabi (s.‘a.w) yang paling banyak meriwayatkan hadith melebihi dirinya, kecuali ‘Abd-Allah bin ‘Amr (bin al-‘As) kerana dia selalu menulis sedangkan Abu Hurairah tidak menulis.

Di sini dia mengatakan ‘Abd-Allah bin ‘Amr meriwayatkan hadith daripada Nabi (s.‘a.w) lebih banyak berbanding dengan dirinya sendiri. Bagaimanapun, setelah diteliti kami dapati ‘Abd-Allah hanya meriwayatkan hadith tidak lebih daripada 700 buah,14 dan jumlah ini adalah kira-kira 1/8 daripada hadith riwayat Abu Hurairah.

Kedudukan ini menunjukkan bahawa Abu Hurairah mengakui ‘Abd-Allah bin ‘Amr bin al-‘As mengatasinya dalam periwayatan hadith pada masa-masa awal selepas Nabi (s.‘a.w), sedangkan kebanyakan hadith karutnya timbul semasa pemerintahan Mu‘awiyah dan bukannya pada zaman-zaman pemerintahan Abu Bakr, ‘Umar atau ‘Ali (‘a.s) yang merupakan di antara tokoh-tokoh yang ditakuti oleh Abu Hurairah.


13. Aspek kualiti hadith Abu Hurairah

Dalam kebanyakan hal, gaya bahasa (uslub) yang digunakan dalam hadith riwayat Abu Hurairah tidak boleh diterima naluri yang halus, juga ia tidak selari dengan akal yang waras dan ilmu.

Memadailah sekiranya kami membentangkan 40 buah hadith yang diriwayatkan daripadanya sebagai contoh dengan disertai analisis kami yang kritikal dan terperinci bagi pembaca untuk membuat kesimpulan mereka masing-masing.

. Bentuk (surah) Adam seperti bentuk Allah:

Dicatatkan oleh al-Bukhari dan Muslim15 daripada ‘Abd al- Razzaq daripada Ma‘mar daripada Hamman ibn Munabbih yang berkata: Inilah yang diceritakan kepada kami oleh Abu Hurairah daripada Nabi (s.‘a.w) yang bersabda:

“ Allah menciptakan Adam seperti bentuk (surah) Allah, dengan panjang badan 60 hasta (27 meter),”
Ahmad menambah 16 daripada sumber Sa‘id bin al-Musayyab daripada Abu Hurairah secara marfu‘ dengan katanya: Abu Hurairah juga menceritakan: “ dengan lebar badannya 7 hasta (3.15 meter).” Dia juga berkata: Selepas menciptanya Allah berfirman: “ Pergilah dan ucapkanlah salam kepada malaikat yang duduk di sana dan dengarlah bagaimana mereka menyambut salammu, kerana itulah salam bagimu dan keturunanmu. Lalu dia pergi dan berkata: “ Assalamu ‘alaikum.” Mereka menjawab: “ Assalamu‘alaikaum wa rahmatu-llah.” Dengan cara ini, mereka menambahkan rahmatu-llah.

Oleh itu, setiap orang yang masuk syurga adalah dalam bentuk Adam (‘a.s) dan panjangnya 60 hasta. Selepasnya, mereka menjadi semakin kecil hinggalah sekarang.


Kritikan

Sesungguhnya Allah Maha Suci daripada rupa bentuk dan penyerupaan. Hadith ini kelihatan diambil daripada kitab Yahudi iaitu kitab Perjanjian Lama (Old Testament @ al-‘Ahd al-Qadim) yang menyebutkan perkara yang sama dengan perkataan yang sama iaitu “ Allah menciptakan manusia seperti bentuk-Nya sendiri.”17

Sungguh dikesali Abu Hurairah mengemukakan ajaran Yahudi dalam agama Islam dengan memasukkan hadith ini. Takwilan yang paling tepat kepada hadith ini adalah kita hendaklah mengembalikan gantinama (damir) “ hu ” dalam perkataan suratu-hu kepada Adam (‘a.s) dan bukannya kepada Allah.

Justeru, ia bermaksud bahawa Allah (s.w.t) menciptakannya di syurga mengikut bentuknya (Adam) (dan bukannya mengikut bentuk Allah), dengan maksud Adam diciptakan sekaligus dalam bentuknya yang sempurna tanpa melalui peringkat-peringkat sperma, segumpal darah, janin tanpa rangka, diikuti janin dengan rangka, kemudian dengan daging, menjadi bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa dengan bentuk panjang dan lebarnya yang sempurna.

Bagaimanapun, takwilan ini tidak tepat kerana hadith yang sama diriwayatkan daripada Abu Hurairah dengan kata-kata: “ Adam diciptakan seperti al-Rahman (iaitu Allah). Al-Qastalani mengatakan kata gantinama diri (damir) “ hu ” pada perkataan suratu-hu kembali kepada Allah dan bukan kepada Nabi Adam (‘a.s). Terdapat juga dalam hadith-hadith lain diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Allah diperlihatkan sebagai berfirman kepada Nabi Musa (‘a.s): “ Aku menciptakan mereka (manusia) menurut bentuk- Ku.” Oleh itu, hadith yang menetapkan rupabentuk dan penyerupaan bagi Allah tidak boleh diterima sama sekali.
 

0 komentar:

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2013. Ewin Buku - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger