a008

Ijtihad dan Keragaman Pemahaman Agama
 

BAB V


18. Allah turun ke langit dunia pada setiap malam

Al-Bukhari dan Muslim telah menceritakan daripada saluran Ibn Syihab daripada Abi ‘Abdullah al-Aghr dan Abi Salma ibn ‘Abd al- Rahman daripada Abu Hurairah yang meriwayatkan secara marfu‘ dengan berkata:

“ Tuhan kami turun ke langit dunia pada setiap malam sehinggalah tinggal 1/3 malam. Dia berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaku, Aku akan kabulkan permintaannya itu.”22


Kritikan

Sesungguhnya Allah tidak berkait langsung dengan persoalan turun dan naik, datang dan pergi, bergerak dan berpindah dan semua kejadian seperti itu. Hadith ini dan tiga buah hadith sebelumnya menjadi sumber persoalan tajsim (kepercayaan bahawa Allah mempunyai jasad) dalam Islam. Golongan al-Hanabilah (bermazhab Hanbali) telah menimbulkan pelbagai bentuk bid‘ah dan penyelewengan, lebih-lebih lagi Ibn Taimiyyah yang menaiki mimbar masjid al-Umawi di kota Damsyiq pada hari Jumaat.

Dalam khutbahnya dia memberitahu beberapa bid‘ahnya menerusi kata-katanya: Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia seperti mana aku turun, dan ketika mengucapkan perkataan itu dia turun selangkah ke bawah untuk menunjukkan kepada orang ramai bagaimana cara Allah turun sebenarnya, cukup dengan segala syarat yang diperlukan untuk melakukannya seperti 0bergerak dan melangkah ke bawah.

Seorang ulama (Faqih) bermadhhab Maliki yang dikenali dengan nama Ibn al-Zahra’ menyanggah kata-katanya itu. Orang ramai bangkit menentang ulama Maliki itu dan memukulnya dengan teruk sehingga serbannya jatuh. Kemudian, mereka membawanya kepada Qadi al- Hanabilah (mazhab Hanbali) bernama ‘Izz al-Din ibn Muslim pada hari itu di kota Damsyiq yang memerintahkan supaya Ibn al-Zahra’ dipenjarakan. Dalam penjara, ulama bermadhhab Maliki yang malang ini juga didera.23


19. Nabi Sulaiman menentang keputusan bapanya, Nabi Dawud

Al-Bukhari24 dengan sanadnya sampai kepada Abu Hurairah secara marfu‘ yang berkata: Dua orang wanita bersama-sama dengan anak mereka masing-masing. Seekor serigala datang dan memakan anak salah seorang daripada mereka. Sahabat wanita itu berkata: Serigala itu telah melarikan anakmu, manakala seorang lagi berkata: Serigala itu melarikan anakmu. Kedua-duanya pergi menemui Nabi Dawud untuk mendapatkan keputusan. Lalu Nabi Dawud mengeluarkan hukum yang menyebelahi wanita yang lebih tua (al-kubra). Kedua-dua wanita itu kemudian pergi menemui Nabi Sulaiman bin Dawud (‘a.s) dan menceritakan kepadanya, lalu Nabi Sulaiman berkata:

Bawakan kepadaku sebilah pisau untuk membelah anak ini untuk kamu berdua. Wanita yang lebih muda (alsughra) berkata: Janganlah lakukan. Moga-moga Allah merahmatimu. Anak itu adalah anaknya (wanita yang lebih tua). Nabi Sulaiman lalu memutuskan menyerahkan anak itu kepada wanita yang lebih muda (al-sughra). Abu Hurairah berkata: Aku tidak pernah mendengar perkataan pisau (al-sikkin) kecuali pada hari ini kerana kami biasa menyebutkannya sebagai almidyah.


Kritikan

Pertama: Nabi Dawud (‘a.s) merupakan khalifah Allah di bumi, iaitu seorang nabi yang diutuskan Allah kepada sekalian hamba-Nya dan diperintahkan untuk menyelesaikan masalah antara manusia dengan sebenar-benarnya (al-haq) seperti firman Allah: “ Wahai Dawud! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil.”25

Dalam ayat-ayat yang lain pula, Allah memuji Dawud (‘a.s) dengan firman-Nya:

“ Dan ingatlah hamba Kami Dawud yang mempunyai kekuatan sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan). Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Dawud) di waktu petang dan pagi. Dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul. Masing-masingnya amat taat kepada Allah. Dan Kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan.”26

Firman Allah seterusnya: “ Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat pada sisi Kami dan tempat kembali yang baik.”27

Seterusnya:

“ Dan Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang (ada) di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan sebahagian nabi-nabi itu akan sebahagian (yang lain), dan Kami berikan zabur kepada Dawud.”28

Nabi Dawud, seorang nabi yang Allah muliakannya dengan kitab zabur dan baginda terpelihara (ma‘sum) daripada sebarang kesilapan, lebih-lebih lagi dalam memutuskan hukum dan keputusan seperti yang diturunkan oleh Allah.

“ Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orangorang yang fasiq.”29

Kini Nabi Sulaiman, anak Nabi Dawud menjadi pewaris ilmu dan hukumnya, dan baginda pula ma‘sum. Bagaimana mungkin Nabi Sulaiman menentang hukum ayahnya sedangkan baginda seorang yang paling mengetahui tentang sifat ‘ismahnya? Perbuatan menentang hukum seperti itu boleh membawa kepada mempersoalkan perbuatan Allah yang memilih Nabi Sulaiman sebagai nabi dan juga pada masa yang sama tidak menghormati ayahnya sendiri.

Kedua: Hadith ini jelas menunjukkan pertentangan di antara dua hukum yang bersumber daripada dua orang nabi. Hal ini boleh memberikan implikasi bahawa salah seorang daripada mereka melakukan kesalahan. Kalau hadith ini sahih, sedangkan kesalahan adalah ditegah daripada berlaku kepada para nabi, lebih-lebih lagi dalam masalah hukum seperti yang diturunkan Allah (barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasiq.)

Ketiga: Zahir hadith ini menunjukkan Nabi Dawud (‘a.s) memutuskan hukuman ke atas anak itu dengan memihak kepada wanita yang lebih tua (al-kubra) tanpa sebarang bukti dan hanya berdasarkan sematamata kerana dia (wanita) itu lebih tua (al-kubra). Perkara sebegini hanya dilakukan oleh orang-orang yang jahil sahaja, yang tidak tahu hukumhukum syarak dan tidak pula memahami prinsip keadilan. Sudah pasti Allah dan rasul-rasul-Nya tidak termasuk dalam golongan seperti ini.

Keempat: Hadith ini jelas memperlihatkan bahawa Nabi Sulaiman membuat keputusan menyebelahi wanita yang lebih muda (al-sughra) semata-mata kerana dia bimbang anak itu akan dibelah dengan pisau. Hal ini tidak mungkin menjadi dasar hukum, lebih-lebih lagi selepas wanita itu bersetuju menyerahkan anak itu kepada wanita yang lebih tua (al-kubra) dan ayahnya (Dawud) juga membuat keputusan sama seperti itu.

Kelima: Seseorang itu akan terus merasa hairan terhadap orangorang yang mempercayai kebenaran Abu Hurairah pada ketika dia mengatakan, dia tidak pernah mendengar perkataan pisau (al-sikkin) disebutkan kecuali pada hari itu dan perkataan yang biasa mereka gunakan ialah al-midyah. Perkataan al-sikkin sebenarnya lumrah digunakan dalam percakapan Arab berbanding dengan perkataan almidyah.

Tentulah tidak masuk akal, seseorang itu tidak dapat memahami makna perkataan al-sikkin jika dibandingkan dengan perkataan al-midyah, seolah-olah seperti kebanyakan orang tidak mengetahuinya.

Ia juga menunjukkan bahawa Abu Hurairah tidak pernah membaca dan mendengar firman Allah dalam surah Yusuf.30 Tiga ayat pada awalnya dan ayat keempat:

“ Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda kekuasaan Allah pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.”31

Abu Hurairah memeluk Islam selepas ayat ini diturunkan iaitu selepas tujuh tahun. Orang-orang Islam sering membacanya malam dan siang, dan dapat didengar dalam masa bersalat dan bersendirian dan pada sepanjang masa, yang merupakan ayat-ayat Makkiyyah:

“ dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebuah pisau (sikkinan).”32

Hal ini juga menunjukkan seolah-olah Abu Hurairah tidak pernah meriwayatkan sabda Rasulullah (s.‘a.w) yang menyebutkan: “ Seseorang yang menjadi Qadi untuk memutuskan hukum di antara manusia, maka sesungguhnya dia adalah seperti disembelih tanpa menggunakan pisau.“33


20. Nabi Sulaiman bertukarganti 100 orang wanita dalam satu malam

Al-Bukhari dan Muslim dengan isnadnya sampai kepada Abu Hurairah secara marfu‘ berkata: Sulaiman ibn Dawud berkata: Aku bertukar-tukar 100 orang wanita dalam satu malam. Setiap seorang melahirkan seorang anak yang berjuang ke jalan Allah. Seorang malaikat berkata kepadanya: Katakanlah insya-Allah maka dia tidak berkata-kata. Lalu dia bertukar silih berganti dengan wanita-wanita tadi, tetapi tidak seorang pun daripada mereka melahirkan anak kecuali seorang wanita yang melahirkan orang bersifat separuh sahaja (kata Abu Hurairah). Sabda Nabi (s.‘a.w): Kalaulah dia berkata insya-Allah, dia tidak dapat melanggar sumpahnya dalam hal keinginannya yang berkobar-kobar itu.


Kritikan

Hadith ini terdedah kepada beberapa persoalan seperti berikut:

Pertama: Bagaimana kuat sekali pun seorang lelaki itu, dia tidak akan mampu bertukar ganti 100 orang wanita dalam semalam. Perkara yang disebutkan oleh Abu Hurairah tentang Nabi Sulaiman bergilir-gilir wanita-wanita tersebut adalah berlawanan sama sekali dengan sifat semulajadi manusia dan ia tidak mungkin terjadi.

Kedua: Tidak harus bagi Nabi Sulaiman (‘a.s) meninggalkan al-ta‘liq (kepercayaannya kepada Allah dalam perbuatan-perbuatannya), tambahan lagi setelah diperingatkan oleh malaikat kepadanya. Apa pula yang dapat menegahnya daripada mengucapkan insya Allah. Ini kerana ia menjadi suatu doa kepada Allah dan suatu cara untuk kembali kepada Allah. Hanya orang-orang yang terlupa (al-ghafilun) dan orang jahil (al-Jahilun) sahaja yang meninggalkan perbuatan tersebut kerana semuanya berada di tangannya. Kalau dia hendak, ia berlaku dan kalau tidak dikehendaki, ia tidak akan berlaku. Tentunya jauh sekali hal ini berlaku kepada para nabi daripada sifat lupa seperti orang-orang jahil kerana mereka (‘a.s) lebih mulia dan lebih utama berbanding dengan orang-orang biasa (al-mukharrufun).

Ketiga: Abu Hurairah kelihatan ragu-ragu tentang bilangan wanita Nabi Sulaiman, kerana pada kali pertama dikatakan seramai 100 orang wanita. Pada kali kedua dikatakan 90 orang pada kali ketiga dikatakan 70 orang dan kali keempat dikatakan 60 orang.

Riwayat-riwayat ini semuanya terdapat dalam kedua-dua kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim dan juga Musnad Ahmad. Aku sendiri tidak tahu apa yang dikatakan oleh orang yang sengaja mencari alasan dengan orang itu (Abu Hurairah)? Adakah mereka mengatakan bahawa peristiwa ini berulang-ulang kali berlaku antara Nabi Sulaiman dan para isterinya? Ada kalanya 100 kali, ada ketikanya 90 kali, 70 kali dan seterusnya 60 kali! Pada setiap kali pula malaikat mengingatkannya, maka dia tidak mengatakan: Aku tidak jangka mereka akan mengatakan perkara ini. Kalau mereka mengatakan: ...Memang benarlah, seorang pendusta tidak mempunyai ingatan.


21. Nabi Musa (‘a.s) menumbuk mata malaikat maut

Al-Bukhari dan Muslim dalam kitab Sahih mereka dengan isnadnya sampai kepada Abu Hurairah yang berkata:

“ Malaikat maut datang menemui Musa (‘a.s), dia berkata kepadanya: Sahutlah seruan Tuhanmu. Katanya: Maka Musa menumbuk mata (‘ain) malaikat maut sehingga terkeluar biji matanya. Malaikat maut kembali kepada Tuhan dan berkata: Sesungguhnya Engkau (Tuhan) mengutuskanku kepada hamba-Mu yang tidak mahu mati maka dia telah menumbuk sehingga terkeluar mataku.

Katanya: Allah lalu memulihkan matanya semula dan berfirman: Pergilah kembali kepada hamba-Ku dan katakanlah: Kalau engkau mahu terus hidup, cekupkanlah tanganmu di belakang badan lembu. Sebanyak mana bulu yang engkau genggam dengan tanganmu itu, sebanyak itulah bilangan tahun umurmu dilanjutkan.”34

Ahmad meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah dalam Musnadnya35 seperti berikut:

“ Sesungguhnya malaikat maut telah datang menemui manusia dalam keadaan boleh dilihat, dia berkata: Musa datang dan menumbuknya sehingga terkeluar biji matanya.”

Ibn Jarir al-Tabari menyebutkannya dalam kitab Tarikhnya. Ini disebutkan tentang kewafatan Nabi Musa dalam kitabnya,36 juga daripada Abu Hurairah dengan lafaznya:

“ Sesungguhnya malaikat maut mendatangi manusia dalam keadaan boleh dilihat sehingga Musa datang lalu menumbuknya sehingga terkeluar biji matanya.” Dalam hadith lain disebutkan bahawa: “ malaikat maut datang kepada manusia dalam keadaan secara rahsia (tersembunyi) selepas kematian Nabi Musa.” Kalau malaikat maut datang kepada manusia dalam keadaan boleh dilihat sebelum kewafatan Nabi Musa, tentulah cerita-cerita ini banyak sekali dan diketahui umum ibarat terangnya sinaran matahari di siang hari. Namun kenapakah pula ahli-ahli hadith dan sejarah serta para pemberi maklumat (Ahl al-Akhbar) mengabaikan cerita ini sekiranya ia benar-benar mempunyai kepentingannya? Kenapakah pula para pencerita (al-qassasin) dan orang biasa tidak memikirkannya. Adakah mereka meninggalkan keistimewaan hadith Abu Hurairah ini?

Kami melihat hadith itu yang mengandungi perkara-perkara yang tidak harus kepada Allah ta‘ala, begitu juga kepada para nabi dan para malaikat. Adakah wajar bagi Allah memilih nabi-Nya, seorang yang berkelakuan ganas ketika marah seperti orang-orang yang zalim, sehinggakan keresahannya itu tidak mengenal malaikat dan mereka membenci kematian seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahil? Bagaimanakah perkara seperti ini berlaku kepada Nabi Musa, yang telah dipilih oleh Allah membawa perutusan-Nya, diamanahkan membawa wahyu-Nya dan menempatkannya di kalangan ketua para nabi? Bagaimana pula dia membenci kematian sedemikian rupa dengan kedudukannya yang begitu mulia? Ketakutannya dengan kedudukannya yang hampir kepada Allah dan kegembiraan dalam pertemuan dengan Allah? Apakah pula dosa malaikat maut (‘a.s)?

Sesungguhnya malaikat maut itu juga utusan Allah kepadanya. Apakah perlunya pukulan (tumbukan) itu dan contoh teladan daripada perbuatan itu sehingga tercabut mata malaikat? Malaikat itu tidak datang kecuali daripada Allah dan ia tidak mengatakan sesuatu kecuali “ sahutilah panggilan Tuhanmu,” adakah harus bagi para rasul Ulu al-‘Azm melakukan penghinaan terhadap al-karubiyyin daripada golongan malaikat? Musa memukulnya ketika mereka menyampaikan perutusan Allah (a.z.w) dan perintah-Nya? Maha suci Allah, para nabi dan malaikat daripada perkara-perkara tersebut.

Kami berlepas diri daripada golongan Ashab al-Rass, Fir‘aun Musa, Abu Jahal dan orang-orang seperti mereka, dan kami melaknat mereka pagi dan petang! Bukankah ia disebabkan mereka mencaci para utusan Allah (malaikat) ketika mereka datang kepada mereka (rasul) dengan membawa perintah-Nya.

Bagaimana mungkin diharuskan perbuatan mereka ke atas para nabi Allah dan kesuciannya daripada hambanya? Maha Suci Allah, hal seperti ini tidak lain hanyalah dusta yang amat besar. Diketahui umum bahawa kekuatan manusia seluruhnya dicampurkan dengan kekuatan seluruh makhluk lain semenjak Allah menciptakan (dari awal) sehinggalah hari Qiyamat tidak akan dapat menandingi kekuatan malaikat maut. Jadi bagaimana mungkin Musa (‘a.s) boleh melakukannya? Bagaimana pula malaikat tidak dapat menandinginya dengan kekuatannya mencabut nyawa dan dalam keadaan dia diperintah pula oleh Allah ta‘ala supaya melakukannya, dan dari mana pula malaikat mempunyai mata untuk ditumbuk?

Seseorang itu tidak harus lupa walaupun kitab suci Musa iaitu al-Tawrat mengharuskan balasan balik dengan cara nyawa dibalas dengan nyawa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung dan sebagainya.37

Namun kita melihat malaikat maut menggunakan haknya untuk bertindakbalas. Begitu juga Allah tidak menghukum Musa kerana menampar malaikat. Sebaliknya Allah memberikan Musa kemuliaan dengan dapat memilih hidup atau mati berdasarkan bilangan bulu binatang yang dapat dipegang oleh tangannya.

Selanjutnya, apakah alasan untuk menghubungkan bilangan tahun Musa dibenarkan hidup dengan bulu binatang (lembu) tersebut? Sayang sekali, Abu Hurairah membentangkan perkara-perkara yang segala keupayaan para penyanjungnya (awliya’a-hu) tidak mampu memahami dan akal mereka tidak pula mengerti termasuklah kata-katanya lebih-lebih lagi dalam hadith ini menyebutkan bahawa:

“ Malaikat maut sebelum wafat Musa datang kepada manusia dalam keadaan boleh dilihat, tetapi kemudian datang secara tersembunyi selepas Nabi Musa wafat.” Moga-moga dijauhi Allah daripada kekalutan akal, kecelaan kata-kata dan perbuatan, tiada daya dan upayaku melainkan daripada Allah yang Maha Agung lagi Maha Perkasa.
 

0 komentar:

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2013. Ewin Buku - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger