| |
26. Pendedahan keaiban Nabi Musa (‘a.s), ketika semut menggigitnya, dia membakar seluruh sarangnya.
Al-Bukhari48 dan Muslim49 telah mengambil suatu riwayat menerusi para perawi sampai kepada Abu Hurairah secara marfu‘ yang mengatakan:
“ Seekor semut telah mengigit seorang nabi iaitu Musa bin ‘Imran dan baginda memerintahkah supaya membakar sarangnya lalu Allah mewahyukan kepadanya, “ seekor semut mengigitmu sedangkan kamu pula membakar suatu umat daripada umat-umat yang mengagungagungkan Tuhanmu!”
Kritikan
Terbukti Abu Hurairah seorang yang suka menimbulkan musibah kepada para nabi Allah yang menyakitkan mata dan telinga. Bagaimanapun, para nabi mempunyai tahap kesabaran yang sangat tinggi dan berdada lapang terhadap semua tuduhan yang dilontarkan kepada mereka oleh orang awam. Di sini, wasi Nabi iaitu Amir al-Mu’minin ‘Ali (‘a.s) telah berkata dalam salah satu khutbahnya: “ Demi Allah, sekiranya aku dikurniakan kekayaan semua tujuh (7) penjuru alam di bawah langitnya, supaya menyisihkan seekor semut daripada satu bahagian barlinya, aku tidak akan melakukannya. Sudah pasti pada pandanganku duniamu ini adalah lebih kecil daripada nilai sehelai daun di mulut seekor belalang yang memakannya. Semua kesenangan akan musnah dan kelazatan juga tidak akan berkekalan.”
Inilah pandangan ‘Ali yang bukanlah merupakan seorang nabi tetapi hanyalah seorang pengganti Nabi (s.‘a.w) dan saksinya. Tentulah seorang nabi lebih-lebih lagi kerana Allah memilihnya sebagai nabi-Nya dan menganugerahi kemuliaan kepada Musa, dapat bercakap dengan- Nya (Allah) secara langsung. Allah dan rasul-Nya terlepas sama sekali daripada tuduhan dan tohmahan orang-orang yang jahil.
Sungguh menghairankan, bagaimana orang yang menyakini hadith ini mempercayai bahawa seorang nabi menghukum seekor semut dengan membakarnya sedangkan Nabi (s.‘a.w) dengan jelas mengatakan bahawa tidak dibenarkan seseorang pun menyiksa sesuatu dengan hukuman bakar kecuali Allah. Semua bersepakat bahawa makhluk hidup tidak boleh dibunuh dengan dibakar sebagai balasan. Tambahan pula, Abu Dawud telah mengambil suatu riwayat dengan sanad yang sahih berdasarkan syarat-syarat al-Bukhari dan Muslim menerusi Ibn ‘Abbas bahawa Nabi (s.‘a.w) telah melarang membunuh semut, lebah, burung hud-hud dan buruk merak.”
27. Nabi (s.‘a.w) terlupa salat dua rakaat
Al-Bukhari50 dan Muslim51 telah mengambil riwayat dalam kitab Sahih mereka, berhubung dengan sifat pelupa bahawa Abu Hurairah meriwayatkan: “ Nabi (s.‘a.w) mendirikan salah satu daripada salat ‘isya’ (atau mungkin salat ‘asr) dengan hanya melakukan dua (2) rakaat kemudian baginda mengucapkan salam dan berdiri menghadap tiang di bahagian hadapan masjid lalu meletakkan tangan di atasnya. Di antara sahabat yang berada di situ ialah Abu Bakr dan ‘Umar tetapi mereka merasa sangsi untuk berkata kepadanya. Orang ramai lalu bergegas keluar dan mereka mengatakan: “ Adakah engkau mengqasarkan (memendekkan) salat? Orang yang biasa Rasulullah panggil ialah Dhu al-Yadain yang menanyakan: Adakah engkau lupa atau qasarkan? Nabi (s.‘a.w) berkata: Aku tidak lupa dan juga tidak qasarkan (salat). Dia berkata: Ya, engkau telah lupa. Lalu dia bersalat dua (2) rakaat, mengucapkan salam, membaca takbir dan bersujud.”
Kritikan
Hadith ini mengandungi keterangan tentang sujud sahwi (lupa) tetapi ia ditolak sama sekali kerana beberapa alasan seperti berikut:
Pertama: Sifat pelupa yang keterlaluan berlaku apabila seseorang itu menjauhkan keinginan bersalat dalam fikirannya dan sibuk melayani fikiran lain dalam kepalanya. Ia hanya berlaku kepada orang-orang yang tidak memberikan tumpuan semasa bersalat. Sudah pasti, nabi terpelihara daripada perbuatan tersebut dan sifat terlupa tidak pernah didengari berlaku kepada nabi-nabi yang lain, apatah lagi kepada nabi yang terbaik di kalangan mereka dan juga yang terakhir sudah tentu mengatasi semua perkara tersebut.
Kedua: Hadith itu menunjukkan bahawa Nabi (s.‘a.w) pada mulanya menafikan bahawa baginda memendekkan salat atau terlupa melakukan salat itu dengan sempurna. Bagaimanakah baginda kemudiannya mengakui baginda terlupa? Bahkan sekiranya kita menerima keadaan tersebut iaitu baginda tidak terlepas daripada sifat pelupa, semua orang Islam bersepakat bahawa baginda pasti terhindar daripada sifat bongkak atau gopoh dalam mengucapkan sesuatu yang bertentangan dengan keadaan sebenarnya.
Ketiga: Abu Hurairah kelihatan keliru dalam hadith ini kerana fikirannya bercelaru. Pada kali pertama, dia mengatakan Nabi (s.‘a.w) mendirikan salah satu salat petang, sama ada zuhur atau ‘asr, ragu-ragu tentang salah satu daripadanya dan kemudian dia menjelaskan bahawa Nabi mendirikan salat ‘asr, dinyatakan mengenainya pada kali ketiga dengan jelas, katanya: Ketika aku sedang bersalat zuhur dengan Nabi (s.‘a.w), “ diterangkan dengan jelas bahawa ia adalah salat zuhur. Kesemua versi atau riwayat tersebut dicatat dalam kedua-dua kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim, manakala para pensyarah kepada kitab Sahih mereka pula merasa keberatan untuk memperjelaskannya.
Keempat: Hadith ini jelas menunjukkan bahawa selepas mendirikan dua rakaat pertama salat, Nabi (s.‘a.w) meninggalkan tempat salatnya, keluar pergi ke tiang di bahagian depan, bercakap dengan orang ramai dan dengan cara itu salat pun berakhir. Bagaimanakah kemudian baginda meneruskannya semula dan melakukan dua rakaat yang tertinggal selepas terbatalnya salat sebelum.
Kelima: Orang yang disebutkan sebagai Dhu al-Yadain dalam hadith sebenarnya merujuk kepada Dhu al-Syimalain, iaitu ibu ‘Abd ‘Amru, sekutu Bani Zuhra, mati syahid dalam perang Badr 5 tahun sebelum Hijrah sebelum Abu Hurairah memeluk Islam. Ia diakui oleh ketua Bani Zuhra, Mahmud bin Muslim al-Zuhri seperti disebutkan dalam al-Isabah, Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isti‘ab dan semua syarah (keterangan) kepada kedua-dua kitab Sahih. Ia turut diakui oleh al-Tahuri dalam dua buah riwayat hadith yang paling sahih diriwayatkan olehnya dan oleh Abu Hanifah apabila mereka meninggalkan beramal dengan hadith ini dan mengeluarkan fatwa yang berlawanan denganya, seperti yang diperlihatkan dalam syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi.52 Al-Nasa’i juga menunjukkan bahawa Dhu al-Yadain dan Dhu al-Syimalain adalah orang yang sama. Hujah yang sama dikemukakan lebih jelas oleh Ahmad bin Hanbal dalam Musnad.53
Wajar disebutkan juga bahawa bentuk atau versi riwayat ini seperti yang diambil oleh Muslim dalam Sahihnya,54 mengandungi katakata Abu Hurairah seperti berikut: “ Rasulullah bersama-sama dengan kami telah bersalat salah satu daripada salat waktu siang sama ada zuhr atau ‘asr …hingga ke akhir hadith termasuk perbualan di antara Dhu al-Yadain (atau Dhu al-Syimalain) dan lain-lain kerana Dhu al- Yadain telah mati syahid dalam perang Badr 5 tahun sebelum Abu Hurairah menganuti Islam dan datang kepada Nabi (s.‘a.w). Keseluruhan hadith mereka ini tidak perlu dipercayai.
28. Nabi (s.‘a.w) memukul, menyebat,mencela dan melaknat orang yang tidak sepatutnya.
Al-Bukhari55 dan Muslim56 telah mengambil riwayat daripada para perawi yang berakhir kepada Abu Hurairah secara marfu‘ bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Ya Allah! Muhammad hanyalah manusia biasa. Dia marah seperti juga manusia yang lain marah. Aku telah berjanji kepadamu, janganlah kamu menentangku dalam perkara ini. Oleh itu, sekiranya ada sesiapa yang telah aku sakiti, caci, cela, laknat atau sebat, Engkau jadikanlah ia tebusan dosa (kaffarah) kepadanya dan suatu kurniaan kepadanya sebagai menghampirkan diri kepada-Mu.”
Kritikan
Tidak wajar bagi Nabi (s.‘a.w) atau mana-mana nabi yang lain menyakiti, menyebat, mencaci atau melaknat sesiapa pun yang sama sekali tidak layak menerimanya, sama ada dalam keadaan marah atau sebaliknya. Bahkan mereka tidak boleh merasa marah tanpa alasan. Sudah pastilah Allah Maha Agung untuk mengutuskan seorang nabi kepada umat manusia, yang dikuasai sifat marah sehingga sampai menyakiti, melaknat atau mencaci orang-orang yang tidak layak menerimanya, sedangkan nabi-nabi terhindar sama sekali daripada berkata atau melakukan sesuatu yang boleh menghapuskan sifat ‘ismah mereka dan mereka juga tersisih daripada semua perkara yang tidak sesuai kepada orang yang bijaksana.
Orang baik dan orang jahat mengetahui bahawa menyakiti, melaknat, mencaci atau menyebat orang yang tidak layak menerimanya adalah kezaliman dan kejahatan yang sewajarnya dijauhi oleh semua orang mu’min. Bagaimana mungkin perbuatan seumpama itu dikaitkan kepada ketua para nabi dan Khatam al-Nabiyyin sedangkan baginda sendiri dikatakan bersabda:
“ Melaknat orang Islam adalah suatu keburukan.”
Menurut hadith catatan al-Bukhari,57 Abu Hurairah menyatakan bahawa dikatakan kepada Nabi: “ Ya Rasulullah, doakanlah melawan orang musyrik. Nabi berkata: aku tidak diutuskan sebagai suatu laknat tetapi sebagai rahmat.” Demikianlah sifatnya terhadap golongan musyrik. Bagaimana mungkin baginda boleh berkelakuan terhadap orang yang tidak berhak menerimanya dari kalangan mu’min? Tentulah hadith ini diciptakan semasa zaman Mu‘awiyah bertujuan untuk memenuhi keinginannya, mendekatkan diri kepada keluarga Abu al-‘As dan seluruh Bani Umaiyyah dan juga sebagai tindakbalas kepada Nabi (s.‘a.w) yang melaknat sekumpulan munafiq dari kalangan mereka dan ketua mereka sendiri, ketika mereka didapati menghalangi orang lain daripada jalan Allah dan menyimpangkannya.
Nabi (s.‘a.w) melaknat mereka dalam banyak tempat untuk memberitahu kedudukan mereka yang dilaknat dan hina agar umat Islam mengetahui bahawa mereka tidak ada sesuatu apa pun dengan Allah dan Rasul-Nya dan agama tetap selamat daripada sifat nifaq mereka dan umat Islam juga terselamat daripada rancanan dan komplot jahat mereka. Semua ini dilakukan oleh Nabi sebagai sebahagian daripada perutusan kenabian menurut perintah Allah. Cukup menghairankan umat Islam masih menyokong mereka walaupun mereka memainkan semua bentuk tipu helah untuk menghancurkannya. Mereka menelan Nabi, selepasnya diikuti kaum kerabatnya dengan segala kekuatan mengikut perintah mereka. Nabi (s.‘a.w) melaknat mereka agar Allah menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya dan orang-orang mu’min daripada umatnya menjauhi mereka untuk memisahkan diri selama-lamanya daripada kefasiqan mereka.
29. Gangguan syaitan kepada Nabi (s.‘a.w) semasa mendirikan salat
Al-Bukhari58 dan Muslim59 menerusi para perawi yang berakhir dengan Abu Hurairah yang berkata:
“ Nabi (s.‘a.w) sedang bersalat, kemudian baginda berkata: Syaitan mendekatiku dan cuba sedaya upayanya untuk mengganggu salatku, tetapi Allah membenarkan mencekiknya dan aku berjaya merantainya agar kamu dapat menyebut kata-kata Sulaiman: “ Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku kekuasaan yang tiada seorang pun selepasku memilikinya.”
Kritikan
Dalam hadith ini, dinyatakan bahawa para nabi Allah sebagai manusia pilihan Allah wajib terpelihara daripada perkara-perkara seperti itu kerana keadaan tersebut berlawanan sama sekali dengan ‘ismah dan mencemarkan kedudukan mereka. Allah memelihara dan menghindarkan syaitan daripada mendekati atau menggoda mereka.
Allah dengan jelas memberikan amaran kepada syaitan dalam al-Qur’an:
“ Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”60
Di pihak yang lain, umat Islam sendiri mengetahui walaupun terdapat perbezaan dalam kepercayaan mereka bahawa syaitan tidak gembira pada saat kelahiran Nabi (s.‘a.w) dan bimbang perutusannya sebagai Nabi tetapi merasa gembira dengan penghijrahannya dan sekali lagi merasa gelisah dengan kemunculan dan kejayaannya, hukumhakam, peraturannya dan sebagainya. Dia tentu akan melarikan diri ketika Nabi bersalat seperti cahaya kilat dan menjauhkan diri daripada apa yang diserukan Allah kepadanya tentang hukum-hakam dan rahsia, dan Allah menjelaskan:
“ Sesungguhnya salat menegah daripada perkara-perkara yang keji dan mungkar.”61 Sudah diketahui umum bahawa apabila Nabi (s.‘a.w) berdiri untuk bersalat, dia akan menumpukan perhatian sepenuhnya dengan mengenepikan segala sesuatu selain daripada Allah dengan bantuan kekuatan ruhaninya dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Allah semata-mata sebagai hamba-Nya yang mukhlis. Ketika baginda mengucapkan takbir pertama salat, baginda meminta perlindungan daripada Allah sebelum memulakan bacaannya berdasarkan perintah Allah:
“ apabila kamu membaca al-Qur’an, mohonlah perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam.”62 Jelas ternyata bahawa apabila Nabi (s.‘a.w) memohon perlindungan Allah, Allah akan menjadi pelindungnya. Syaitan sendiri mengetahui hakikat ini walaupun hanya orang-orang yang jahil sahaja yang tidak mengetahuinya. Pasti hadith Abu Hurairah ini bertentangan sama sekali dengan kedudukan Nabi (s.‘a.w) yang mulia dan kerana itu, kebenarannya tidak dapat diterima sama sekali.
Di sini persoalan boleh dikemukakan kepada ahli-ahli hadith, al- Bukhari dan Muslim dan lain-lain iaitu sama ada syaitan mempunyai ciri-ciri fizikal untuk dirantai sehingga ke pagi untuk membolehkan orang ramai melihatnya dengan mata kasar mereka dalam keadaan tersebut. Terbukti tiada seorang pun akan berkata bahawa syaitan mempunyai jisim untuk membolehkan tindakan itu dilakukan.
30. Nabi (s.‘a.w) tertidur sehingga terlepas waktu salat subuh
Al-Bukhari dan Muslim63 mengambil riwayat menerusi rangkaian para perawi sampai kepada Abu Hurairah, dengan katanya seperti dicatatkan oleh Muslim:
“ Kami bersama-sama Nabi (s.‘a.w) melepasi malam dalam sebuah jamuan perkahwinan dan tidak terjaga hinggalah terbitnya matahari. Nabi (s.‘a.w) bersabda: Setiap orang daripada kamu hendaklah membawa dirinya kerana tempat ini didiami syaitan. Kami melakukan demikian. Kemudian dia meminta air lalu berwudu’ kemudian bersujud sebanyak dua (2) kali dan kemudian menunaikan salat subuh.”
Kritikan
Hadith ini dengan jelas bertentangan dengan petunjuk Nabi (s.‘a.w) kerana Allah berfirman: “ Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang di malam hari kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit, atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Qur’an itu dengan perlahan-lahan.”64
Ini kerana Nabi (s. ‘a.w) biasanya menunaikan salat sepanjang malam sehingga kakinya bengkak. Lalu Allah mewahyukan ayat ini kepadanya: “ Taha, Kami tidak menurunkan al-Qur’an ini kepadamu agar kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah).”65
Inilah kedudukan Nabi (s.‘a.w) berkaitan dengan salat sunat (malam). Bayangkanlah salat fardhu yang lima dan ia pula merupakan salah satu rukun Islam. Seterusnya Abu Hurairah sendiri66 meriwayatkan sebuah hadith daripada Nabi (s.‘a.w) yang dikatakan bersabda: Apabila seseorang daripadamu tertidur, syaitan membuat tiga (3) simpulan rambut (qafiyah al-ra’s). Sekiranya dia bangun dan mengingati Allah, simpulan pertama akan terungkai. Sekiranya dia berwudu’, simpulan kedua akan terungkai dan sekiranya dia menunaikan salat, simpulan ketiga pula akan terurai.
Kemudian dia akan menghadapi pagi dengan hati yang penuh kegembiraan dan ketenangan, jika sebaliknya dia akan merasa dirinya kotor dan malas.” Sebuah hadith yang lain pula menyebutkan sabda Nabi (s.‘a.w): Tiadalah salat yang lebih berat ke atas orang munafiq daripada salat fajr (subuh) dan ‘isya’. Kalau mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, mereka akan mendatanginya walaupun terpaksa merangkak.67
Tidak perlulah diulas dengan panjang lebar, adakah Rasulullah yang menyeru orang ramai kepada salat mengutamakan salat subuh, mengancam orang yang tidak keluar bersalat subuh dengan ancaman membakar, membiarkan dirinya tertidur sehingga matahari terbit dan tertinggal salat.
Terdapat beberapa kepalsuan hadith ini:
Pertama: Dijelaskan dalam berbagai-bagai kitab Sahih bahawa semasa tidur hanya mata Nabi sahaja yang tidur tetapi hatinya tidak.68 Bagaimana mungkin Nabi tertinggal salat subuh disebabkan tertidur?
Kedua: Berdasarkan catatan Muslim,69 kejadian dalam hadith ini berlaku ketika Nabi (s.‘a.w) dalam perjalanan balik dari Perang Khaybar. Ketika Abu Hurairah datang menemui Nabi untuk memeluk Islam di Madinah selepas kembali dari Khaybar. Dengan demikian, Abu Hurairah tidak boleh mendakwa hadir pada masa peristiwa itu berlaku.
Ketiga: Dalam hadith ini, Nabi (s.‘a.w) ditunjukkan sebagai berkata bahawa setiap orang hendaklah bergerak dengan binatang tunggangannya kerana syaitan telah mendiami tempat itu, tetapi telah diperlihatkan dengan cukup jelas dan terang bahawa syaitan tidak boleh mendekati Nabi (s.‘a.w) sama sekali. Abu Hurairah juga berkata: Lalu kami melakukannya. Tetapi kita tahu bahawa pada hari-hari itu, Abu Hurairah bekerja untuk menyara hidup sekadar cukup makan. Mana mungkin dia mempunyai binatang tunggangan?
Keempat: Abu Hurairah kemudian berkata Nabi (s.‘a.w) meminta air, berwudu’ dan bersujud sebanyak dua (2) kali dan kemudian bersalat subuh. Terbukti salat ini sebagai ganti salat yang tertinggal. Dalam kejadian ini, tujuan melakukan dua (2) kali sujud adalah tidak jelas, kerana tiada tempat baginya sama sekali. Al-Nawawi tidak menyebutkannya dalam tafsirannya (syarh).
Kelima: Sudah menjadi kebiasaan bagi para pemimpin tentera dan panglima, apabila tentera dibenarkan tidur, terdapat beberapa orang pengawal yang tetap berjaga untuk memerhatikan dan mengawasi sebarang serangan tentera. Pastinya, Nabi (s.‘a.w) yang dikelilingi musuh-musuh termasuk orang-orang munafiq dalam kumpulan bersama-samanya, tidak akan membiarkan perkara itu begitu sahaja supaya dapat mengelakkan dirinya dan orang-orangnya terdedah kepada serangan atau komplot orang munafiq dalam tenteranya. Mustahil para pengawal turut tertidur. Nabi (s.‘a.w) sebenarnya telah memberikan amaran bahawa banyak pendustaan dan pembohongan akan dilakukan terhadapnya.
Keenam: Dalam kejadian ini, tentera yang dipimpin Nabi (s.‘a.w) terdiri daripada 600 orang lelaki dengan 200 ekor kuda. Sukar untuk difahami semuanya tertidur sehingga tiada seorang pun terjaga pada masa salat subuh sedangkan sudah tentu terdengar bunyi kuda merengek dan bunyi gerakan mereka, khususnya pada waktu pagi apabila mereka mulai membuat bising untuk makan rumput kering. Terbukti, seluruh cerita itu tidak lain hanyalah khayalan Abu Hurairah semata-mata.
|
|
0 komentar:
Posting Komentar