37. Orang berkulit hitam (Habsyi) bermain-main dalam masjid berdekatan Nabi (s.‘a.w)
Al-Bukhari mengambil riwayat daripada Abu Hurairah yang berkata: “ Di kalangan kami terdapat orang Habsyi (mereka) bermain-main di dalam masjid berdekatan Nabi (s.‘a.w) lalu datang ‘Umar dengan mengambil batu dan melontarkannya kepada mereka. Nabi lalu menegahkan sambil berkata wahai ‘Umar.” Menurut pendapatku, sesungguhnya Rasulullah sangat menjauhi permainan dan terlepas daripada perbuatan sia-sia (al-‘abath). Baginda sangat mengetahui perkara-perkara yang dilarang Allah dan Rasul-Nya daripada menyediakan ruang untuk orang-orang yang jahil bersuka ria (al-lahw) dalam masjid di hadapannya sendiri. Masanya dipenuhi perkara-perkara ukhrawiyah dan duniawi yang lebih berharga, dan tidak ada ruang untuk berseronok.
Allah memelihara baginda daripada perbuatan menyibukkan masjid yang mulia dengan perkara-perkara yang sia-sia, keseronokan atau perbuatan yang melalaikan (lagha).93
38. Pembatalan sebelum tiba masa mengamalkannya
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah yang berkata: “ Rasulullah mengutuskan kami dalam suatu perutusan. Baginda berkata: Sekiranya kamu menemui si fulan dan si fulan hendaklah kamu membakar kedua-duanya. (Katanya) Kemudian Rasulullah berkata kepada kami ketika kami hendak keluar:
Sesungguhnya aku memerintahkan kamu semua supaya membakar si fulan dan si fulan. Sesungguhnya api tidak dapat menimpakan azab melainkan Allah ta‘ala, lalu sekiranya kamu berjumpa dengan mereka berdua, (kamu) bunuhlah mereka.”
Kritikan
Ini adalah hadith palsu kerana ia mengandungi pembatalan sebelum tiba waktu melakukannya. Ia sama sekali mustahil berlaku kepada Allah ta‘ala dan kepada Rasul-Nya (s.‘a.w) sebagaimana diakui dalam hal ini, bahawa Rasulullah berkata: Bakarlah fulan dan fulan. Dia berkata demikian daripada Allah yang menyatakan: “ tidaklah sesuatu yang diucapkannya itu melainkan ia wahyu yang diwahyukan.” Bagaimana mungkin terbatal kata-kata tersebut sebelum tiba masa untuk mengamalkannya. Bukankah pembatalan dan peristiwa itu sendiri memberikan implikasi kejahilan? Allah Yang Maha Agung terlepas daripada kata-kata manusia yang zalim.
39. Melakukan perbuatan dalam jangka masa yang tidak memadai.
Al-Bukhari mengambil riwayat daripada Abu Hurairah secara marfu‘ yang mengatakan: “ Dipermudahkan al-Qur’an kepada Dawud ketika dia meminta pelana diletakkan di atas kudanya sedangkan dia sempat membaca al-Qur’an sebelum pelana itu sempat diletakkan.”
Kritikan
Pada pendapatku: Kenyataan ini mustahil berlaku dilihat dari dua sudut:
Pertama: Al-Qur’an diwahyukan kepada Khatam al-Nabiyyin wa al-Mursalin Muhammad (s.‘a.w) dan tidak mungkin sebelumnya. Bagaimanakah Nabi Dawud (‘a.s) boleh membacanya. Mereka berpendapat bahawa maksud al-Qur’an di sini merujuk kepada kitab al-Zabur dan al-Tawrat. Ia dinamakan al-Qur’an kerana berlakunya mu‘jizat dengan kedua-duanya seperti berlaku hal yang sama kepada al-Qur’an yang diturunkan kepada Muhammad (s.‘a.w).
Pada pendapatku: Dalam jawapan itu ada pandangan lain kerana mereka membawa kata-kata Abu Hurairah dalam hal ini bukannya seperti yang dikehendaki. Wa Allahu a‘lam. Kedua: Masa meletakkan pelana di atas belakang binatang itu tidak memungkinkan berkesempatan membaca al-Qur’an, sama ada yang dimaksudkan itu diturunkan kepada Rasulullah (s.‘a.w) ataupun yang dimaksudkan itu al-Zabur atau al-Tawrat. Apa yang pasti dari segi logik akal adalah bahawa perbuatan itu tidak dapat diterima berlaku pada waktu yang terlalu singkat. Inilah kesalahan yang tidak dapat diragukan sama sekali.
Justeru, tidak seperti penjelasan al-‘Allamah al-Qastalani dalam perkara ini dalam kitabnya, Irsyad al-Sari katanya: Hadith ini membuktikan bahawa Allah memendekkan masa kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari kalangan hamba-Nya seperti mana ia menggulung tempat bagi mereka (katanya). Al-Nawawi berkata sebahagian mereka membaca empat (4) khatamat pada sebelah malam dan 4 khatamat pada sebelah siang.
Kamu dapat melihat Abu al-Tahir di Quds al-Syarif pada tahun 867. Aku mendengar daripadanya kerana ketika itu dia membaca kedua-duanya lebih daripada 10 khatamat bahkan Syaikh al-Islam al-Burhan bin Abi Syarif berkata kepadaku: Dia membaca 15 khatamat siang dan malam (katanya): Inilah persoalan yang tidak ada ruang untuk mengetahuinya kecuali dengan anugerah Allah dan lafaz tersebut berakhir.
40. Manusia bertukar bentuk menjadi tikus
Al-Bukhari94 dan Muslim95 telah mengambil riwayat daripada Abu Hurairah yang mengatakan:
“ Sekumpulan manusia tertentu dari kalangan Bani Israil didapati hilang dan tidak diketahui apa yang mereka telah lakukan. Aku tidak melihat mereka kecuali beberapa ekor tikus. Sekiranya susu unta diletakkan di hadapan mereka, mereka tidak akan meminumnya, tetapi sekiranya susu kambing ditempatkan di hadapan mereka, mereka akan meminumnya.”
Kritikan
Ini contoh kebodohan yang paling jelas yang sudah sewajarnya dibuang jauh-jauh daripada Islam secepat dan sebanyak mungkin. Tidaklah perlu dipertikaikan lagi bahawa mempercayai peristiwa itu bertentangan sama sekali dengan akal dan ternyata ia memperbodohbodohkan umat Islam.
41. Apabila sesebuah hadith ditolak di hadapannya, dia mengatakan bahawa dia mendengarnya daripada Fadl bin ‘Abbas, bukannya daripada Nabi (s.‘a.w)
Muslim96 telah mengambil riwayat menerusi ‘Abd al-Malik bin Abu Bakr bin ‘Abd al-Rahman bahawa Abu Bakr menceritakan: Aku terdengar Abu Hurairah menceritakan bahawa sesiapa yang berada dalam keadaan berhadath besar (seperti junub) tidak harus berpuasa.
Aku menyampaikannya kepada ‘Abd al-Rahman bin Hars. Dia tidak bersetuju dan tidak dapat menerimanya lalu ‘Abd al-Rahman dan aku bersama-sama menemui ‘A’isyah dan Umm Salamah. ‘Abd al-Rahman menanyakan perkara itu kepada kedua-duanya, lalu mereka mengatakan bahawa ketika Rasulullah (s.‘a.w) berada dalam keadaan berhadath besar (seperti junub) menjelang subuh, disebabkan perkara lain daripada tidur, biasanya baginda berpuasa. Kemudian, kami menemui Marwan yang merupakan gabenor Mu‘awiyah di Madinah.
‘Abd al-Rahman menyebutkan perkara itu kepadanya. Marwan berkata: Kenapa kamu tidak pergi kepada Abu Hurairah dan merujuk kepadanya tentang apa yang diceritakan. Llau kami pun pergi berjumpa Abu Hurairah. ‘Abd al-Rahman menceritakan perkara itu kepadanya lalu dia berkata: Adakah kedua-dua wanita itu memberitahumu seperti itu.
Katanya: Ya. Abu Hurairah berkata: Mereka lebih mengetahui. Kemudian Abu Hurairah berdalih dengan mengatakan riwayat itu diambilnya daripada Fadl bin ‘Abbas yang mengatakan: Aku mendengarnya daripada Fadl bin ‘Abbas dan bukannya daripada Rasulullah (s.‘a.w).
Sudah diketahui umum bahawa Fadl bin ‘Abbas wafat semasa zaman pemerintahan Abu Bakr sedangkan perkara ini berkaitan dengan zaman Mu‘awiyah. Bagaimana mungkin Abu Hurairah boleh mengatakan: “ Aku dengarinya daripada Fadl bin ‘Abbas dan bukannya daripada Nabi?” Sekiranya Fadl bin ‘Abbas masih hidup, tentulah Abu Hurairah tidak dapat mengaitkan perkara itu dengannya sama sekali.
Wajar ditambah di sini bahawa Nabi (s.‘a.w) terlalu mulia, agung dan sempurna berbanding dengan tuduhan dan tohmahan yang dilempari orang ramai terhadapnya. Mustahil Nabi (s.‘a.w) berada dalam keadaan berhadath besar (seperti junub) menjelang subuh, khususnya semasa hari-hari berpuasa, apatah lagi berjanabah waktu malam tidak berlaku kepada Nabi kerana itu adalah perbuatan syaitan yang tidak mampu menghasut manusia-manusia suci tersebut.
42. Dua buah hadith bercanggah antara satu sama lain
Al-Bukhari97 mengambil riwayat daripada Abu Hurairah bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Tidak ada permusuhan, tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada …” Seorang Arab berkata: Ya Rasululah (s.‘a.w), apa pula sekiranya seekor unta di padang pasir apabila seekor unta yang berpenyakit bercampur dengannya dan menjadikannya berpenyakit. Rasulullah (s.‘a.w) mengatakan: Siapakah yang memulakan penyakit itu?” Sebaik sahaja selesai (hadith ini) dan tanpa sebarang campurtangan, al-Bukhari menyampaikan cerita daripada Abu Salma bahawa dia mendengar Abu Hurairah berkata selepas meriwayatkan cerita itu bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: Orang sakit tidak harus bertemu dengan orang yang sihat.” Mendengarkan perkara itu, Abu Salma berkata: Wahai Abu Hurairah, bukankah kamu yang menceritakan bahawa tiada penyakit yang berjangkit (merebakkan penyakit daripada sesuatu kepada yang lain). Abu Hurairah menarik balik riwayat terdahulu dan tidak dapat berkata selanjutnya.
|
0 komentar:
Posting Komentar