a015

Ijtihad dan Keragaman Pemahaman Agama
 

BAB XII


56. Abu Hurairah mendakwa dia hadir sedangkan dia sebenarnya tidak hadir

Riwayat-riwayat Abu Hurairah turut diragukan kerana dalam beberapa keadaan, dia mendakwa hadir di tempat itu sedangkan sebenarnya dia tidak hadir dan tidak mungkin dapat hadir kerana alasan-alasan yang dapat ditolak lagi.

Contoh, katanya: Aku memanggil Ruqaiyyah, anak perempuan Nabi (s.‘a.w), isteri ‘Uthman ketika dia sedang memegang sikat di tangannya. Katanya: “ Nabi (s.‘a.w) baru sahaja pergi daripadaku, selepas aku menyikat rambutnya. Dia berkata kepadaku: “ Bagaimana kamu mendapati Abu ‘Abdullah (iaitu ‘Uthman).” Aku berkata: “Baik.” Dia pun berkata: “ Layanilah dia dengan penuh hormat kerana di kalangan sahabatku, dia mempunyai akhlak yang hampir sama denganku.” Al-Hakim telah menceritakan hadith ini dalam al-Mustadrak119 dengan menyebutkan bahawa sumber hadith tersebut adalah sahih tetapi teksnya (matan) tidak dapat dipercayai kerana Ruqaiyyah telah wafat 3 tahun selepas Hijrah pada masa kemenangan al-Badr sedangkan Abu Hurairah memeluk Islam selepas kemenangan Khaybar pada tahun 7 Hijrah. Kenyataan yang sama dicatatkan oleh al-Dhahabi dalam Talkhis al-Mustadrak mengenai hadith ini.

Berhubung dengan sifat terlupa Nabi (s.‘a.w), Abu Hurairah menceritakan: Kami bersalat zuhr atau ‘Asr bersama-sama dengan Rasulullah (s.‘a.w) apabila baginda mengakhirinya dengan hanya dua raka‘at. Justeru itu, Dhu al-Yadain berkata kepada baginda: “ Adakah kamu mengqasarkan (memendekkan) salat atau kamu terlupa.” Namun demikian, Dhu al-Yadain telah pun mati syahid dalam peperangan al- Badr lama dahulu sebelum Abu Hurairah menganuti Islam seperti yang telah diperlihatkan sebelumnya.

Banyak kali juga, Abu Hurairah mengucapkan kata-kata ini untuk meraikan kejayaan: “Kami telah menakluki Khaybar, ketika dia tidak memperolehi emas atau perak sebagai harta rampas perang tetapi hanya bebiri dan kambing, lembu, unta dan sedikit harta seperti …….” Walaupun telah disepakati bahawa dia memang tidak pernah hadir pada masa penaklukan Khaybar. Oleh kerana itulah, para pensyarah keduadua kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim turut sama meragui kesahihan ayat tersebut: “ kami menakluki Khaybar,” dan hanya benar-benar dapat mengambilnya sebagai merujuk kepada umat Islam secara umum.

Biasanya, dia juga mengatakan: “ Kami mengambil bahagian dalam Perang Khaybar bersama-sama dengan Nabi (s.‘a.w)…”120 Sebentar tadi telah pun disebutkan bahawa Abu Hurairah tidak pernah hadir dalam Perang Khaybar kerana dia menganuti Islam selepas kemenangan di Khaybar.

Dia juga turut berkata: “ Aku melihat 70 orang ahli Suffah, tiada seorang pun mempunyai sehelai kain menutupi badan mereka.” Kini, fakta menunjukkan bahawa 70 orang ahli Suffah telah mati syahid dalam Perang Bi’r al-Ma‘unah yang meletus pada bulan Safar tahun 4 selepas Hijrah lama sebelum Abu Hurairah menerima Islam atau datang dari tanah tumpah darahnya, Yaman. Bagaimanakah dia boleh mengatakan bahawa dia melihat mereka?

Sememangnya cukup jelas bahawa Abu Hurairah biasanya menceritakan daripada Nabi (s.‘a.w) apa yang dia sendiri tidak benarbenar mendengar daripada baginda (s.‘a.w) dan dia turut menunjukkan dirinya hadir sedangkan dia memang tidak pernah hadir. Cukup menghairankan bahawa para pengarang Sahih telah memenuhkan kitab mereka dengan cerita-ceritanya tanpa mengambilkira atau mempertimbangkan aspek-aspek tabiatnya yang amat penting ini dalam menyampaikan riwayat hadith tersebut, dan tidak pula menguji hadithhadith itu menurut ukuran yang diterimapakai bagi mengesan pemalsuan dan rekacipta sementara orang ramai pula pada umumnya hanya mengikut pengarang-pengarang kitab Sahih dan melakukan perkara yang sama berkaitan dengan hadith-hadith tersebut tanpa menguji kesahihan dan kebenarannya.


57. Penolakan hadith-hadith Abu Hurairah oleh tokoh-tokoh terawal

Pada masa Abu Hurairah masih hidup itu sendiri, ramai orang menolak dan membenci cerita atau riwayatnya kerana dia menceritakannya dalam jumlah yang sangat besar dan telah menerimapakai gaya atau stail rekaannya sendiri yang agak aneh, yang menimbulkan keraguan dalam pemikiran orang ramai dan mereka enggan menerima hadith tersebut, dari kedua-dua aspek, kualiti dan bilangan (kuantiti).

Abu Hurairah sendiri berkata dalam nada sesal dan tidak berdaya: “ Orang ramai mengatakan bahawa Abu Hurairah menceritakan hadith yang terlalu banyak, namun Allah akan ditemui jua. Mereka juga mengatakan bahawa Muhajirin dan Ansar tidak meriwayatkan hadith sedemikian banyak.” Di sini dia dengan jelas menunjukkan bahawa kedua-dua aspek, bilangan dan kualiti riwayatnya tidak disukai orang ramai. Dia juga turut memberikan amaran kepada mereka dengan Allah dan Hari Pengadilan ketika mereka semua akan menemui-Nya. Dalam kata-katanya yang lain, dia dengan terang mengatakan: “ Namun mengenai dua baris ayat dalam al-Qur’an, aku tentu tidak meriwayatkan sesuatu kepadamu sama sekali, iaitu:

“ Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknat.”121

Ia telah diriwayatkan oleh kedua-dua tokoh, al-Bukhari dan Muslim.masing-masing dalam kitab Sahih mereka. Hujah yang sama telah diterangkan lebih lanjut oleh Abu Zarrin yang mengatakan: Abu Hurairah datang kepada kami, sambil memukulmukul dahinya dengan tangannya seraya berkata: “ Lihatlah di sini, adakah kamu, orang ramai bermaksud mengatakan bahawa aku berdusta dengan nama Rasulullah (s.‘a.w) bertujuan memberikan petunjuk kepadamu sedangkan aku sendiri tidak mendapat petunjuk.”

Ketika Abu Hurairah datang ke ‘Iraq bersama-sama Mu‘awiyah dan melihat sebilangan besar orang yang datang menyambutnya, dia pun berlutut di Masjid Kufah, kemudian batuk beberapa kali agar orang ramai memberikan perhatian kepadanya dan apabila semua orang berkumpul di sekelilingnya, dia mengungkapkan kepada mereka: “ Wahai penduduk ‘Iraq, adakah kamu aku berdusta terhadap Allah dan Rasul-Nya (s.‘a.w) dan menjadikan diriku layak dihumbankan ke neraka…” dan kemudian dia terus melemparkan segala bentuk tuduhan dan kesalahan ke atas ‘Ali (‘a.s) hanya semata-mata untuk menyenangkan tuannya dan juga musuh-musuh ‘Ali (‘a.s) dengan katakata yang penuh dengan pendustaan dan rekaan.122

Ibn Qutaibah telah mencatatkan dalam kitabnya, Ta’wil Mukhtalaf al-Hadith123 bahawa Nizam mengatakan bahawa ‘Umar, ‘Uthman, ‘Ali (‘a.s) dan ‘A’isyah seringkali mendustakan Abu Hurairah. Bahkan ketika cuba mendebatkan Nizam dan mempertahankan Abu Hurairah, Ibn Qutaibah mengakui seperti berikut: Berhubung dengan keterangan Nizam bahawa ‘Umar, ‘Uthman, ‘Ali (‘a.s) dan ‘A’isyah seringkali mengenepikan Abu Hurairah, hakikatnya adalah bahawa Abu Hurairah berada dalam kumpulan bersama-sama Nabi (s.‘a.w) untuk hanya 3 tahun sahaja dan orang ramai telah meriwayatkan begitu banyak cerita daripadanya. Oleh yang demikian, apabila dia menceritakan lebih banyak daripada apa yang diceritakan berbanding dengan para sahabat yang lain termasuklah sahabat-sahabat besar atau sahabat-sahabat yang terkemuka dalam Islam, mereka menyalahkannya dan mendustakannya dengan mengatakan “ bagaimana kamu mendengar semuanya itu secara bersendirian, dan siapakah lagi yang mendengarnya bersama-samamu?” ‘A’isyah merupakan tokoh yang paling keras mendustakannya kerana hayatnya yang lebih panjang seperti hayatnya juga.

‘Umar juga turut bersikap keras terhadap sesiapa sahaja yang banyak meriwayat tanpa mendapat pengukuhan dan pengesahan terhadap riwayat itu…” Dengan cara ini jugalah, dia (Ibn Qutaibah) mengakui keterangan Nizam itu. Hanya kebenaran jualah yang pasti menyingkapkan kebenaran pada akhirnya. Para sahabat besar dan bahkan orang-orang selepas mereka tetap mendustakan Abu Hurairah sepanjang hayat mereka dan tidak teragak-agak melakukannya, tetapi kebanyakan manusia muslim yang datang selepas mereka mulai mengelakkan diri daripada mendustakannya kerana mereka berpegang kepada kepercayaan tentang “ semua sahabat adalah adil,” pada umumnya dan enggan melakukan penyelidikan atau pengkajian terhadap akhlak mereka sebagai suatu prinsip asas. Dengan cara ini, mereka meletakkan pelbagai bentuk halangan atau rintangan kepada akal dan pemikiran mereka, membutakan mata dan menutupi telinga mereka sama seperti yang digambarkan dalam ayat al-Qur’an:

“ Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar).”124

Walau bagaimanapun, para Imam di kalangan Ahl al-Bait (‘a.s) iaitu kaum kerabat Rasulullah (s.‘a.w) menilai semua sahabat berdasarkan penilaian sahabat terhadap diri mereka sendiri. Oleh itu, berhubung dengan Abu Hurairah, pendapat mereka adalah sama seperti ‘Ali (‘a.s), ‘Umar, ‘Uthman dan ‘A’isyah sebutkan di atas, dan semua pengikut mereka iaitu golongan Syi‘ah sama ada yang awal atau yang akhir sentiasa mengikuti mereka dalam perkara ini mulai pada zaman Amir al-Mu’minin ‘Ali (‘a.s) hingga ke hari ini.

Berhubung dengan pendapat tokoh-tokoh lain, pandangan beberapa orang tokoh terkemuka dicatatkan seperti di bawah: Imam Abu Ja‘far Askafi mengatakan: Abu Hurairah dianggap sebagai seorang gila oleh para ketua kami dan tidak boleh diterima sebagai perawi. Beliau juga mengatakan: Khalifah ‘Umar memukulnya dengan tali cemeti sambil berkata “ kamu menyampaikan riwayat yang keterlaluan banyaknya daripada Nabi (s.‘a.w) dan aku pasti akan memerangimu kerana kamu melakukan penddustaan terhadap Nabi (s.‘a.w).”

Sufyan al-Thauri menceritakan daripada Mansur, daripada Ibrahim al-Taimi yang mengatakan: Orang ramai tidak mengakui hadithhadith Abu Hurairah kecuali yang berkaitan dengan syurga dan neraka. Abu Usamah menceritakan daripada A‘masy yang mengatakan: Ibrahim merupakan seorang yang boleh dipercayai dalam hadith.

Justeru apabila aku mendengar hadith, aku pergi kepadanya dan menyebutkan di hadapannya. Pada suatu hari aku membawa beberapa buah hadith kepadanya yang diceritakan daripada Abu Salih, seterusnya daripada Abu Hurairah. Katanya: Maafkan aku dalam persoalan Abu Hurairah kerana orang ramai biasanya menolak kebanyakan hadith daripadanya.

Telah diceritakan daripada ‘Ali (‘a.s) bahawa beliau berkata: Pembohong besar di kalangan manusia atau katanya, di kalangan manusia yang hidup terhadap Nabi (s.‘a.w) ialah Abu Hurairah al-Dusi.

Abu Yusuf menanyakan Abu Hanifah bahawa dalam sesuatu persoalan yang kita bertembung dengan sebuah hadith dikatakan daripada Nabi (s.‘a.w) tetapi berbeza sama sekali dengan pendapat kita, apakah yang harus kita lakukan terhadapnya. Katanya: “ Sekiranya ia disampaikan menerusi sanad (perawi) yang benar, kita hendaklah mengamalkannya dan mengenepikan pendapat kita.” Kemudian aku berkata: “ Apakah pula katamu mengenai Abu Bakr dan ‘Umar.” Dia berkata: “ Dalam urusan mengenai mereka, aku menegahmu daripada memberikan pendapat.” Aku berkata lagi: “ ‘Ali (‘a.s) dan ‘Uthman pula.”

Dia berkata: “ Kedua-duanya sama sahaja.” Apabila dia melihat bahawa aku menamakan para sahabat seorang demi seorang, lalu dia berkata: “ Semua sahabat adalah adil melainkan beberapa orang sahaja,” dengan mengecualikan Abu Hurairah dan Anas bin Malik.

Ringkasnya, sudah jelas bahawa Abu Hanifah dan para sahabat lain biasanya menolak hadith-hadith Abu Hurairah apabila ia bercanggah dengan pendapat mereka. Sebagai contoh: Abu Hurairah dan semua sahabat bersepakat bahawa salat akan terbatal disebabkan perbuatan bercakap sama ada terlupa, jahil atau kerana sesuatu yang seolah-olah menunjukkan orang yang melakukannya itu sudah selesai.

Madhhab Fiqh Hanafi adalah jelas dalam persoalan itu dan pendapat yang sama dipegang oleh Sufyan al-Thauri. Ini bermakna bahawa mereka tidak memberikan perhatian dan penekanan langsung kepada hadith Abu Hurairah di mana dia menceritakan bahaw: Nabi (s.‘a.w) pada suatu ketika terlupa dan mengakhiri salat empat raka‘at dalam dua raka‘at, kemudian baginda bangkit daripada tempat salatnya and pergi ke biliknya. Kemudian baginda datang kembali ketika itu ditanyakan kepadanya: “ Adakah kamu mengqasarkan (memendekkan) salat atau terlupa.” Baginda membalas: Aku tidak mengqasarkan dan bukan terlupa.” Kemudian mereka berkata: “ Tetapi kamu melakukan dua raka‘at sahaja bersama-sama kami.” Selesai soal-jawab di antara baginda dengan mereka, baginda percaya apa yang mereka katakan.

Justeru dengan bersandarkan dua raka‘at terdahulu itu, baginda menyempurnakan salat kemudian bersujud sahwi (sujud kerana terlupa). Atas dasar inilah, Imam Malik, Imam al-Syafi‘i dan Imam Ahmad berpendapat bahawa bercakap kerana terlupa semasa bersalat, atau keyakinan orang yang menunaikan salat bahawa dia tidak terikat lagi dengannya tidak menyebabkannya terbatal. Bagimanapun, sebaliknya Abu Hanifah tidak menerima dan mengakui hadith Abu Hurairah kerana dia berpendapat salat terbatal dalam keadaan seperti itu.

Sebelum menamatkan perbincangan, kami kemukakan di bawah ini beberapa contoh yang menunjukkan kedudukan Abu Hurairah pada pandangan beberapa orang sahabat:

(1) Menurut Musaddad dalam Musnadnya, dan Ibn Hajar dalam Isabahnya, Abu Hurairah dikatakan berkata: Apabila ‘Umar mendapat tahu tentang hadith-hadithku, dia mengutus kepadaku dan berkata: Adakah kamu bersama-sama kami pada hari kami berada dalam rumah si-polan dan si-polan?” Aku berkata: “ Ya.” Dia berkata: “ Nabi (s.‘a.w) berkata pada hari itu, barang siapa berdusta terhadapku dengan sengaja, maka sedialah tempatnya di neraka.” Ini merupakan petunjuk paling jelas bahawa Abu Hurairah bukanlah di kalangan orang-orang yang meriwayatkan hadith semasa ‘Umar bahkan bukan pula termasuk orang-orang yang ‘Umar lihat atau dengar meriwayatkan hadith. Namun begitu, apabila dia mendapat tahu beberapa buah hadith Abu Hurairah menerusi orang-orang lain dan keanehannya memeranjatkannya, dia menghantar peringatan kepadanya untuk memberikan amaran terhadap perkara tersebut dengan pembalasan neraka.

(2) Menurut Ibn ‘Asakir dalam kitabnya, Kanz al-‘Ummal125 ‘Umar pada suatu kali memperingatkan Abu Hurairah dengan katanya: “ Hentikanlah menyampaikan riwayat daripada Nabi (s.‘a.w) atau sekiranya tidak, aku akan campakkanmu ke bumi Dus atau bumi monyet.”

(3) Menurut Imam Abu Ja‘far Askafi, seperti yang telah disebutkan terdahulu, pada suatu kali ‘Umar begitu marah terhadap Abu Hurairah kerana meriwayatkan hadith keterlaluan banyaknya daripada Nabi (s.‘a.w) lalu memukulnya dengan tali cemetinya sambil memperingatkannya dengan kata-katanya: Kamu sudah keterlaluan, dan kerana itu aku terpaksa menentangmu disebabkan pendustaanmu terhadap Nabi (s.‘a.w).

(4) ‘Umar melucutkannya dari Bahrain selepas memukulnya sehingga bahagian belakangnya berdarah dan dia mengambil balik 10 000 dirham harta Bait al-Mal daripadanya dan memberikan peringatan kepadanya dengan kata-kata yang kesat seperti yang diperlihatkan dalam keterangan Abu Hurairah semasa pemerintahan dua orang khalifah.

(5) Menurut Muslim dalam Sahihnya,126 ‘Umar memukul Abu Hurairah pada masa hayat Nabi (s.‘a.w) begitu teruk sehingga jatuh terduduk.

(6) Abu Ja‘far Askafi telah menceritakan bahawa ketika ‘Ali (‘a.s) terdengar mengenai Abu Hurairah meriwayatkan hadith, beliau berkata: “ Dia manusia paling banyak berdusta,” atau katanya: “ pendusta paling besar terhadap Rasulullah (s.‘a.w) di kalangan manusia yang hidup ialah Abu Hurairah.”

(7) Abu Hurairah selalu mengatakan: “ Sahabatku menceritakan kepadaku,” atau “ aku melihat sahabatku,” atau “ sahabatku Nabi (s.‘a.w) telah berkata kepadaku.” Apabila ia disampaikan kepada ‘Ali (‘a.s), beliau berkata: “ Bilakah masanya Rasulullah (s.‘a.w) menjadi sahabatmu, wahai Abu Hurairah?”

(8) Menurut al-Hakim dalam kitabnya, al-Mustadrak127 ketika hadithhadith Abu Hurairah sampai kepada pengetahuan ‘A’isyah, dia mengutuskan seseorang kepadanya dan berkata: “ Apalah hadith-hadith ini yang sampai kepada kami bahawa kamu menceritakan sesuatu daripada Nabi (s.‘a.w). Adakah kamu mendengar lain daripada apa yang kami dengar, adakah kamu melihat lain daripada apa yang kami lihat?” katanya, “ Wahai Umm al-Mu’minin, cermin dan logammu menjauhkanmu daripada Nabi (s.‘a.w).”

(9) Abu Hurairah menceritakan bahawa anjing, wanita dan kaldai membatalkan salat lalu ‘A’isyah menolaknya dengan berkata: “ Aku melihat Nabi (s.‘a.w) menunaikan salat di tengah-tengah katil sedang aku pula berada di atas katil menjadi hadangan antara baginda dengan Qiblah.”

(10) Abu Hurairah menceritakan sebuah hadith yang menentang berjalan di atas sebelah kaki sahaja. Ketika ‘A’isyah mendapat tahu mengenainya, dia berjalan di atas sebelah kaki dan berkata “ Aku pasti akan menentang Abu Hurairah dalam persoalan ini.”

(11) Abu Hurairah menceritakan bahawa sesiapa berada dalam keadaan berjunub menjelang subuh (dalam keadaan berhadath besar) tidak harus berpuasa. Dia telah ditolak dalam hal ini oleh ‘A’isyah dan Umm Salmah seperti yang telah dinyatakan sebelumnya. Hadith ini dan dua hadith yang terdahulu boleh diperolehi di dalam Ta’wil Mukhtalaf al-Hadith oleh Ibn Qutaibah.128

(12) Dua orang menemui ‘A’isyah dan berkata mengenai Abu Hurairah yang telah meriwayatkan daripada Nabi (s.‘a.w) bahawa ada tanda ramalan pada wanita dan binatang, yang menjadikan ‘A’isyah hilang sabar dan berkata: “ Demi Allah yang mewahyukan al-Qur’an kepada Abu al-Qasim (s.‘a.w), barang siapa meriwayatkannya daripada Rasulullah (s.‘a.w) bercakap dusta.”

(13) Pada suatu kali, Abu Hurairah duduk di sebelah tempat ‘A’isyah dan menceritakan hadith-hadith daripada Nabi (s.‘a.w) ketika ‘A’isyah sedang membaca tasbih. Selepas selesai, dia mengatakan: “ Bukankah sesuatu yang menghairankan Abu Hurairah menceritakan hadith-hadith daripada Nabi (s.‘a.w) dan membuatkan aku mendengarnya ketika aku pula sedang sibuk membaca Tasbih sementara dia akan pergi dari situ sebelum aku selesai. Sekiranya aku dapat menangkapnya, aku akan menafikannya.” Hadith ini dan hadith yang terdahulu kelihatan dalam kitab Ibn Qutaibah, Ta’wil Mukhtalaf al-Hadith.129

(14) Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Apabila seseorang daripada kamu terjaga daripada tidur, dia hendaklah membasuh kedua-dua tangannya sebelum meletakkannya ke pinggan kerana tiada seorang pun tahu ke mana kedua-dua tangan itu pergi.” ‘A’isyah menolak hadith ini dan enggan menerimanya sambil berkata: “ Apakah yang boleh kita lakukan dengan mihras (bekas air yang berat daripada batu yang dipotong).130 Walau bagaimanapun, dapatlah diperhatikan bahawa ‘A’isyah kelihatan enggan mengakui kesahihan hadith ini kerana dia tidak yakin dan percaya kepada Abu Hurairah.

(15) Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi (s.‘a.w): “ Sesiapa yang mengusung keranda hendaklah berwudu’.” Ibn ‘Abbas tidak mengakui kesahihan hadith ini sebaliknya terus menolaknya sambil berkata: “ Wudu’ tidak wajib semasa mengusung keranda kayu. Perkara ini juga telah diceritakan oleh sebilangan besar ulama yang terpercaya termasuklah juga Ahmad Amin dalam Fajr al- Islam.131

(16) Ibn ‘Umar selalu meriwayatkan bahawa Nabi (s.‘a.w) membenarkan membunuh anjing kecuali anjing yang digunakan untuk memburu, untuk mengawal kambing dan bebiri atau untuk menjaga ternakan. Disampaikan untuk perhatian Ibn ‘Umar bahawa Abu Hurairah menambah dalam hadith itu, anjing yang menjaga lading. Ibn ‘Umar tidak mengakuinya tetapi sebaliknya menolaknya dengan mengatakan: “ Abu Hurairah mempunyai sebuah ladang, lalu dia mengadakan sedikit tambahan dalam hadith Nabi (s.‘a.w) bertujuan untuk menjaga anjingnya dan juga ladangnya sebagai mengambil sikap berhati-hati. Hadith ini kelihatan dalam kitab Muslim, Sahih.132

(17) Ibn ‘Umar tidak mengesahkan hadith Abu Hurairah mengenai landak dan terus meragui kesahihannya.

(18) Ibn ‘Umar terdengar Abu Hurairah meriwayatkan hadith bahawa barang siapa menyertai upacara pengusungan jenazah, akan mendapat satu bahagian pahala lalu menyatakan: Abu Hurairah telah menyampaikan hadith yang keterlaluan banyaknya.” Dia tidak mengakui kesahihannya sehinggalah dia menghantarkannya kepada ‘A’isyah untuk mendapatkan pandangannya. ‘A’isyah turut meriwayatkannya dan barulah selepas itu, dia mengakui kesahihannya. Hadith ini telah dibuktikan benar. Muslim telah menyebutkannya dalam kitabnya, Sahih.133

(19) Amir bin Syuraih bin Hani turut melakukan perkara yang sama apabila dia terdengar Abu Hurairah menceritakan bahawa: “ Barang siapa mengingini bertemu Allah, Allah suka bertemu dengannya, dan barang siapa membenci bertemu Allah, Allah juga tidak suka bertemu dengannya. Dia tidak mengakui kesahihan Abu Hurairah sehingga dia bertanya ‘A’isyah mengenainya dan ‘A’isyah turut meriwayatkannya sambil memahamkan maksud hadith itu kepadanya. Hadith ini juga telah dibuktikan benar.134

Berhubung dengan persoalan mengenai keadilan semua sahabat, tidak ada bukti yang menyokongnya. Bahkan para sahabat sendiri tidak menyedarinya. Malahan sekiranya diandaikan hadith itu benar, kita sebaiknya mengikutinya sebagai penghormatan kepada sahabat yang kedudukan mereka tidak diketahui, dan bukannya menghormati sahabat yang ditolak oleh setiap orang termasuk ‘Umar, ‘Uthman, ‘Ali (‘a.s) dan ‘A’isyah atau seseorang yang patut ditentang kerana ada bukti yang jelas sementara menentang Abu Hurairah pula, kita memang mempunyai bukti yang cukup jelas.


58. Protes Abu Hurairah terhadap orang-orang yang menyalahkannya

Abu Hurairah biasanya memprotes terhadap orang-orang yang mendustakannya atau mencari kesalahannya. Dia berkata: Orang ramai berkata bahawa Abu Hurairah terlalu banyak menyampaikan riwayat, hanya kepada Allahlah tempat kembali. Mereka juga mengatakan bahawa golongan Muhajir dan Ansar tidak meriwayatkan seperti mana dirinya. Apa yang pasti saudara-saudaraku di kalangan Muhajirin biasanya menghabiskan masa berjualbeli di pasar manakala saudarasaudaraku di kalangan Ansar pula melibatkan diri dalam hartabenda mereka.

Di pihak yang lain pula, aku tidak punya apa-apa dan senitasa bersama-sama Nabi (s.‘a.w) sekadar untuk mengisi perutku. Oleh itu, aku hadir sedangkan mereka pula tidak hadir dan aku menghafal sedangkan mereka pula terlupa, dan pada suatu hari Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Tidak ada seorang pun di antaramu harus menggulungkan kainnya sehingga aku menghabiskan ucapanku ini kemudian dia hendaklah menyimpannya dalam dadanya agar dia lupa segala katakataku itu.” Justeru aku membentangkan pakaian bercorak kerana aku tidak mempunyai pakaian lain sehinggalah Nabi (s.‘a.w) selesai mengucapkan kata-katanya, kemudian aku menyimpannya dalam dadaku. Lantaran itu, demi Dia yang mengutuskannya dengan kebenaran, aku tidak lupa segala sesuatu daripada kata-katanya sehingga ke hari ini. Demi Allah, bagaimanapun bagi dua ayat al-Qur’an aku tidak akan sekali-kali menceritakan sesuatu kepadamu, iaitu:

“ Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati. Kecuali mereka yang telah taubat dan mengadakan perbaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”135

Apa yang pasti, Abu Hurairah terpaksa memperlihatkan hadith ini untuk menentang orang-orang yang mendustakannya dalam keduadua perkara berkaitan bilangan hadith dan juga kandungan (kualiti) hadith tersebut. Namun apa yang jelas ini merupakan hadith palsu yang paling buruk dan jauh menyimpang daripada kebenaran. Tidaklah perlu ia diberikan perhatian sama sekali namun pada hakikatnya kedua-dua orang tokoh hadith besar telah memasukkannya sebagai hadith yang sahih dengan senang hati, begitu jelas sekali berdasarkan kepada pegangan mereka yang menganggap baik tentang sahabat secara keseluruhan walaupun dengan melakukan demikian, mereka jelas sekali berlawanan dengan logic dan bahkan keadilan itu sendiri. Terdapat beberapa perkara pokok untuk menggolongkan hadith itu sebagai hadith palsu:

Pertama: Abu Hurairah mengandaikan bahawa jual dan beli di pasar menjauhkan golongan Muhajirin daripada Nabi (s.‘a.w) sementara penglibatan golongan Ansar pula dalam urusan hartabenda mereka menjadikan mereka berada dalam keadaan seperti itu juga. Namun demikian, apakah pula nilai pendapat ini di hadapan ayat al-Qur’an yang cukup jelas dan ketara ini yang menyebutkan: “ Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jualbeli daripada mengingati Allah.”136

Malang sekali kenyataan yang sengaja diada-adakan bahawa Abu Hurairah mengatakan dia biasanya tetap bersama-sama di sisi Nabi (s.‘a.w) ketika ketua dan pemimpin lain tidak hadir, dan dia mengatakan demikian tanpa sedikit pun penyesalan atau sanggahan kerana pastinya, dia melakukannya pada zaman Mu‘awiyah ketika pada masa itu, ‘Umar, ‘Uthman, ‘Ali (‘a.s), Talhah, Zubair, Salman, ‘Ammar, Miqdad, Abu Dhar dan lain-lain dari kalangan kelompok tersebut telah tidak ada lagi.

Sememangnya dia telah mengatakan sesuatu yang besar. Alangkah jauhnya persoalan tersebut daripada reality? Orang ramai sudah sedia mengetahui perhubungan di antara kedudukan ‘Ali (‘a.s) dengan Nabi (s.‘a.w) iaitu hubungan darahnya, keluarbiasaannya, sentiasa bersamasama dengan Nabi (s.‘a.w) dalam ketenteraan semenjak masih kanakkanak, Nabi (s.‘a.w) mendakapkannya ke dadanya, menempatkannya di tempat tidurnya agar menyentuhi tubuhnya supaya ‘Ali (‘a.s) dapat menciumi bauan kenabiannya, dan Nabi (s.‘a.w) biasanya mengunyahkan sesuatu lalu memberi ‘Ali (‘a.s) makan. Justeru, tidak ditemui sebarang bentuk pendustaan dalam kata-katanya atau kekurangan dalam perbuatannya. Allah juga telah menempatkan ‘Ali (‘a.s) dari segi akhlak dan budi pekerti yang hampir sama dengan Nabi (s.‘a.w), sementara ‘Ali (‘a.s) pula biasanya mengikuti Nabi (s.‘a.w) seperti seekor anak unta mengikuti langkah ibunya.

Nabi (s.‘a.w) pada setiap hari mengangkat kedudukannya semakin lama semakin tinggi dalam ilmu dan akhlak, dengan memerintahkannya mengikuti jejak langkahnya. Pada masa-masa tersebut, hanya terdapat dua orang sahaja iaitu ‘Ali (‘a.s) dan Umm al-Mu’minin Khadijah sentiasa berada bersamasama dengan Rasulullah (s.‘a.w).

Justeru itu, ‘Ali (‘a.s) menyaksikan cahaya wahyu dan menciumi haruman kenabian baginda. Sebagai tambahan kepada keistimewaan-keistimewaan tersebut, beliau juga merupakan pintu ilmu Rasulullah (s.‘a.w), pemberi hukum yang terbaik di kalangan manusia muslim, penyimpan rahsia Rasulullah (s.‘a.w), pewaris kekuasaan baginda, pengganti kepimpinan baginda, pengelak segala kebimbangan Nabi (s.‘a.w), pemilik pendengaran yang sentiasa sedar, pemilik khazanah ilmu dalam kitab Allah.

Adakah mungkin orang yang mempunyai keperibadian seperti ini melupakan sebarang perbuatan atau perkataan Rasulullah (s.‘a.w.) yang dikatakan dipelihara oleh Abu Hurairah dalam ingatannya, ataupun beliau menyembunyikan segala sesuatu sedankan Abu Hurairah pula mendedahkannya. Sesungguhnya ini merupakan tuduhan yang amat berat. Lanjutan dari itu juga, di kalangan golongan Muhajirin, hanya terdapat sedikit sahaja bilangan orang yang melibatkan diri dalam jualbeli di pasar.

Sebagai contoh, mereka ialah Abu Dhar, Miqdad, ‘Ammar dan 70 orang ahli Suffah yang merupakan sahabat Abu Hurairah dan seperti yang telah disebutkannya, tidak pernah memiliki sehelai kain pun pada diri mereka sedangkan dia sendiri memiliki kedua-duanya, kain cawat dan juga selimut. Bagaimana mungkin dapat diterima akal kebanyakan mereka tidak meriwayatkan hadith-hadith sampai ke tahap seperti Abu Hurairah lakukan atau sampai ke tahap keterlaluan sama seperti yang dilakukan Abu Hurairah. Sebenarnya, jumlah keseluruhan hadith mereka jauh lebih sedikit berbanding hadithhadith yang secara khusus diriwayatkan Abu Hurairah seorang diri. Keadaan yang sama juga berlaku kepada golongan Ansar. Kebanyakan mereka bukanlah orang berada dan berharta, seperti Abu Hurairah andaikan itu.

Di kalangan mereka ada yang langsung tidak memiliki apa-apa seperti Salman al-Farisi yang dikatakan oleh Rasulullah (s.‘a.w): “ Salman ialah daripada kami, Ahl al-Bait,” dan telah dicatatkan mengenainya dalam kitab al-Isti‘ab, bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Sekiranya agama itu berada di bintang Surayya, Salman
akan dapat mencapainya.” Sementara itu sekali lagi dalam kitab al-Isti‘ab, ‘A’isyah mengatakan sesuatu mengenainya: “ Pada suatu malam Nabi (s.‘a.w) mengizinkan Salman seorang diri mendengarnya sedemikian lama hingga dibimbangi dia mungkin mengatasi yang lain.”

Selanjutnya, menurut kitab al-Isti‘ab lagi, ‘Ali (‘a.s) mengatakan sesuatu mengenai dirinya: “ Pasti, Salman seumpama Luqman al-Hakim kerana dia memiliki keilmuan masa silam dan masa depan. Dia merupakan lautan ilmu yang tidak pernah ketandusan.” Berhubung dengan dirinya juga, Ka‘b al-Ahbar mengatakan seperti yang dicatatkan dalam kitab al- Isti‘ab: “ Salman penuh dengan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan…..” dan orang ramai sudah sedia mengetahui bahawa Abu Ayyub al-Ansari tidak memiliki sebarang harta duniawi, kecuali sepasang selipar, untuk menjauhkannya daripada ilmu atau perbuatanperbuatan yang saleh. Kedudukan yang sama terdapat pada diri Abu Sa‘id al-Khudri, Abu Fadl al-Ansari dan tokoh-tokoh lain seumpama mereka yang kesemuanya di kenali termasuk di kalangan tokoh ilmuan dan pemimpin golongan Ansar.

Perlu juga diingat bahawa masa Nabi (s.‘a.w) bukanlah dihabiskan begitu sahaja, tetapi setiap masa baginda, sama ada siang atau malam diperuntukkan untuk perkara-perkara tertentu dengan teratur. Oleh itu, untuk tujuan menyampaikan ilmu baginda telah tetapkan masa tertentu yang tidak bertembung dengan urusan berjualbeli di pasar ataupun masa-masa melibatkan urusan hartabenda.

Dengan demikian, golongan Muhajirin dan juga Ansar tidak pernah menggagalkan diri untuk hadir pada masa itu kerana mereka benarbenar memerlukan ilmu bukan seperti yang dibayangkan oleh orangorang yang berfikiran cetek.

Kedua, sekiranya Nabi (s.‘a.w) mengatakan sesuatu kepada para sahabatnya bahawa sesiapa yang membentangkan kain mereka sehingga selesai kata-kataku dan sebagainya …. Adalah benar, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Abu Hurairah, sudah tentulah mereka akan melompat ke atasnya dengan penuh semangat, kerana penghormatan tidak boleh diperolehi semata-mata dengan melakukan perjalanan atau ilmu boleh dijamin hanya dengan menghabiskan wang.

Lebih dari itu, apakah yang ada di sana untuk menghalangi mereka daripada mencapainya atau menghentikan mereka daripada membentangkan kain mereka untuk mengejarnya? Kenapakah mereka mengelakkan diri daripada melakukan demikian kerana ia samalah seperti menjauhkan diri daripada mencari ilmu dan menyembunyikan sesuatu yang Nabi (s.‘a.w) mengajak mereka kepadanya. Sudah pasti, ia bukanlah demikian dan kita tidak dapat fikirkan demikian mengenai mereka, khususnya kerana mereka semua memang bersemangat mengikuti perintah Rasulullah (s.‘a.w) dan mengejar apa sahaja yang baginda seru kepadanya.

Ketiga, sekiranya riwayat Abu Hurairah itu memang benar, para sahabat sewajarnya bertaubat dan menyesal dengan begitu sekali kerana mencuaikan diri untuk mencapai kemuliaan yang sangat besar dan memperolehi ilmu yang begitu banyak. Kekecewaan mereka akan berpanjangan kerana kegagalan membentangkan kain mereka kepada Nabi (s.‘a.w) walaupun tiada masalah atau usaha diperlukan untuk melakukannya. Sebenarnya mereka sudah sepatutnya mempersalahkan satu sama lain dan meletakkan kesalahan kepada satu sama lain kerana memilih untuk tidak melakukannya. Pada masa yang sama, mereka sepatutnya merasa cemburu terhadap Abu Hurairah kerana kejayaannya mengatasi mereka biarpun sebenarnya dia hanya mempunyai sehelai kain sahaja sementara tiada seorang pun di kalangan mereka yang memiliki dua helai kain atau lebih. Oleh kerana kita tidak pernah bertembung dengan sesuatu seperti itu, ia menunjukkan dengan jelas bahawa seluruh cerita atau riwayat ini merupakan cerita rekaan Abu Hurairah.

Keempat, sekiranya benar apa yang diceritakan oleh Abu Hurairah, orang lain yang Nabi (s.‘a.w) turut sampaikan kata-kata baginda dalam kejadian membentangkan kain mereka itu harus turut menyampaikan riwayat tersebut. Sebenarnya mereka patut menganggap cerita itu sebagai salah satu tanda kenabian, lambing kemuliaan Islam dan bukti yang menyokong agama itu. Cerita atau riwayat mengenainya tentulah tetap berlanjutan dan mereka pasti menjadikannya terang benderang seumpama matahari di siang hari. Oleh kerana perkara itu tidak pernah wujud, kita hanya dapat menganggapkannya sebagai rekaan Abu Hurairah.

Kelima, terdapat kepelbagaian dalam riwayat tentang kejadian ini oleh Abu Hurairah sendiri. Menurut keterangan A‘raj yang kelihatan dalam Sahih al-Bukhari,137 Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda pada suatu hari kepada para sahabat baginda: “ Tidak wajar bagi setiap seorang daripada kamu membentangkan kainnya sehingga kata-kataku ini berakhir dan kemudian membungkuskanya ke arah dadanya agar dia tidak lupa sesuatu daripada kata-kataku itu.”

Justeru, aku membentangkan kain bercorakku kerana aku tidak mempunyai kain yang lain selain darinya sehingga Nabi (s.‘a.w) mengakhiri kata-kata baginda dan aku membungkuskannya ke dadaku. Demi Dia yang mengutuskannya dengan kebenaran, sampai ke hari ini aku tidak lupa sesuatu daripada kata-kata baginda itu.

Di tempat yang lain pula seperti dicatatkan oleh al-Maqbari, dia meriwayatkannya seperti berikut: Aku berkata, wahai Rasulullah (s.‘a.w), aku mendengar sebuah hadith daripadamu dan aku terlupa mengenainya.” Kata baginda: “ Bentangkan kain selimutmu.” Kemudian dia gerakkan tangan di atasnya, lalu berkata: “ Bungkuskanlah.” Aku membungkuskannya, dan selepas dari itu aku tidak lagi terlupa. Kini, menurut bentuk riwayat yang diberitahu oleh A‘raj, perkara itu berlaku di antara Nabi (s.‘a.w) dan para sahabatnya menunjukkan bahawa Nabi (s.‘a.w) memanggil semua sahabat agar membentangkan pakaian mereka sebagai suatu pemahaman tentang sifat terlupa mereka, sedangkan dalam bentuk riwayat yang lain dicatatkan menerusi al- Maqbari, perkara itu berlaku di antara Abu Hurairah sebagai seorang darinya dan Nabi (s.‘a.w) menunjukkan bahawa Abu Hurairah mengadu kepada Nabi (s.‘a.w) tentang sifat pelupanya.

Selanjutnya, bentuk riwayat yang lain menerusi A‘raj merujuk kepada tidak melupakan ucapan kata-kata Nabi (s.‘a.w) manakala bentuk riwayat yang dicatatkan menerusi al-Maqbari merujuk kepada bebas daripada sifat pelupa secara umumnya, iaitu setiap perkara sama ada ia merupakan hadith atau sesuatu yang lain.

Masih ada satu lagi bentuk riwayat hadith ini. Muslim telah menceritakan dalam Sahihnya,138 daripada Ibn Musayyab di mana Abu Hurairah dikatakan telah mengatakan: “ Selepas hari itu aku tidak lagi terlupa sesuatu yang Nabi (s.‘a.w) ceritakan kepadaku.” Bentuk riwayat ini menerangkan keadaan lebih bebas daripada sifat pelupa berbanding dengan bentuk riwayat menerusi A‘raj tetapi lebih kurang sedikit berbanding dengan al-Maqbari.

Kemudian terdapat bentuk riwayat Ibn Sa‘d dalam kitabnya, Tabaqat139 bersumberkan Amr bin Mardas bin ‘Abd al-Rahman al-Jundi menunjukkan bahawa Abu Hurairah berkata: Nabi (s.‘a.w) berkata kepadaku, “ bentangkanlah pakaianmu.” Lalu aku membentangkannya. Kemudian baginda menceritakan kepadaku sepanjang hari. Kemudian aku membungkuskan pakaianku ke arah dadaku and aku tidak lagi terlupa sesuatu daripada kata-kata baginda. Di sini adalah wajar diperlihatkan bahawa kata-kata “ baginda menceritakan sepanjang hari “ kelihatan hanya dalam bentuk riwayat ini dan tidak ada dalam riwayatriwayat yang lain.

Kitab al-Isabah oleh Ibn hajar mengandungi suatu lagi bentuk riwayat hadith bersama dengan yang lain dan menunjukkan bahawa Abu Hurairah pergi menemui Nabi (s.‘a.w) sewaktu baginda sakit. Lalu dia memberikan salam kepadanya ketika dia sedang berdiri dan Nabi (s.‘a.w) bersandar ke dada ‘Ali (‘a.s) manakala tangan ‘Ali (‘a.s) di dada Rasulullah (s.‘a.w) mengurut-urutkannya. Kaki Nabi (s.‘a.w) diluruskan.

Nabi (s.‘a.w) berkata: “ Datang ke mari, wahai Abu Hurairah.” Dia pergi lebih dekat. Kata baginda: “ Datanglah lebih hampir, wahai Abu Hurairah.” Dia datang lebih dekat. Baginda sekali lagi berkata: “ Dekatlah lagi wahai Abu Hurairah.” Dia pun mendekatkan diri lebih hampir sehingga jarinya mencecah jari Nabi (s.‘a.w). Kemudian baginda berkata: “ Duduklah.” Lalu dia pun duduk. Kemudian baginda berkata: “

Letakkanlah pakaianmu di sebelah berdekatan denganku.” Abu Hurairah memegang pakaiannya, membukanya dan membentangkannya dekat Nabi (s.‘a.w). Nabi (s.‘a.w) kemudian berkata kepadanya: “ Haruskah aku memberitahumu cara bertindak yang kamu tidak patut tinggalkan selama hayatmu.” Katanya: “ Silalah beritahu.” Kemudian baginda berkata: “ Kamu hendaklah mandi pada hari Jumaat dan hendaklah melakukannya pada awal pagi dan tidak melibatkan diri dalam perkaraperkara yang sia-sia., dan aku nasihatkan kepadamu berpuasa selama 3 hari setiap bulan kerana ia seolah-olah seperti berpuasa selama sepanjang tahun. Dan aku nasihatkanmu mendirikan dua raka‘at salat subuh, tidak sekali-kali meninggalkannya, walaupun kamu mendirikan salat sepanjang malam, kerana salat dua raka‘at itu mengandungi banyak keistimewaan. Nabi (s.‘a.w) mengulanginya sebanyak 3 kali, kemudian baginda berkata: “ Bungkuslah pakaianmu.” Lalu aku membungkusnya ke dadaku.

Menurut Abu Hurairah seperti dipetik oleh Ibn Hajar dalam kitabnya, al-Isabah,140 Abu Ya‘la turut menceritakan menerusi al-Walid bin Jami‘ bahawa Abu Hurairah meriwayatkan: Aku mengadu kepada Nabi (s.‘a.w) mengenai kelemahan ingatanku sewaktu baginda berkata: “ Bukalah kain selimutmu.” Kemudian dia membukanya sambil berkata: “Sekarang gulungkanlah ia ke dadamu.” Aku lalu menggulungkannya. Selepas dari itu, aku tidak pernah lupa mana-mana hadith.

Sekali lagi, menurut Ibn Hajar dalam al-Isabahnya, Abu Ya‘la seterusnya menceritakan menerusi Yunus bin ‘Ubaid daripada Hasan albasri daripada Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Sesiapa yang mengambil daripadaku suatu ayat, dua ayat atau tiga daripadanya agar mengikat mereka dan menyebarkannya.”

Justeru, aku membentangkan kain selimutku di hadapan baginda sementara aku bercakap. Seterusnya aku menggulungkannya. Aku harap aku tidak melupakan sesuatu daripada kata-kata baginda. Imam Ahmad juga turut meriwayatkan bentuk hadith ini. Abu Nu‘aim juga dalam kitabnya, Hilyat al-Awliya’,141 diceritakan daripada ‘Abdullah bin Abi Yahya daripada Sa‘id bin Abi Hind daripada Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa Nabi (s.‘a.w) bersabda: “ Wahai Abu Hurairah, tidak mahukan engkau menanyakanku perkaraperkara penting di bahuku dan berharga yang rakan-rakanmu tanyakan. Aku berkata: “ Aku mohon kepadamu supaya mengajarkan kami apa yang Allah telah memberitahumu.” Kemudian aku mengeluarkan pakaian berwarna di belakangku dan membentangkannya di antara diriku dan dirinya. Ia seperti aku masih melihat Kemudian Nabi (s.‘a.w) menceritakan kepadaku sedangkan aku mendengarnya dengan penuh perhatian. Kemudian baginda menyuruhku mengambil balik pakaian dan menggulungkannya ke arah diriku. Sebagai kesudahannya, aku tidak pernah terlupa lagi suatu patah perkataan daripada apa yang disampaikan kepadaku.

Kini, sesiapa yang mengkaji hadith ini dalam segala bentuknya sebagai diriwayatkan menerusi pelbagai rangkaian perawinya, dia akan mendapati perbezaan dalam perkataan dan juga dari segi logik dengan setiap sumber perawi dan melihat bahawa tiada perkataan mahupun logik membawanya kepada satu matlamat bahkan ia tidak juga menuju ke arah yang sama kerana setiap satu daripadanya bercanggah di antara satu sama lain. Oleh yang demikian, hadith ini dengan jelas bukanlah hadith yang sahih.

Keenam, Abu Hurairah berkata: Lalu aku membentangkan pakaian bercorakku itu, kerana aku tidak ada pakaian yang lain. Ini bermaksud bahawa dia berkeadaan telanjang. Kedudukan ini sudah tentu tidak dapat diterima. Untuk menyelesaikan kedudukan ini, al- Qastalani dan Zakariyya al-Ansari dalam syarah-syarah mereka cuba mentafsirkannya dengan maksud dia membentangkan sebahagian sahaja daripada pakaian itu. Bagaimanapun, ini tidak dapat disokong oleh kata-kata Abu Hurairah sendiri.

Ketujuh, dalam kandungan hadith itu sendiri cerita yang digambarkan dalam hadith yang sedang dibincangkan menunjukkan cerita dongeng pada umumnya direka oleh seseorang yang tidak berilmu tinggi dan ia tidaklah sama sekali berbeza daripada ciptaan para penjahat. Dalam mana-mana keadaan, ia sama sekali tidak boleh diambil kira sebagai mu‘jizat Rasulullah (s.‘a.w).

 

0 komentar:

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2013. Ewin Buku - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger